SEMPORNA – Seorang wanita maut selepas dipercayai kenderaan jenis Proton Wira yang dinaikinya bertembung dengan sebuah lori di Kilometer 47, Jalan Semporna – Tawau di sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 4.30 petang tersebut, Rafeah Dumpas, 58, disahkan meninggal dunia di lokasi manakala pemandu, Asrol Omar Basa, 23, pula patah kaki kanan.
Sementara itu, pemandu lori bersama dua kelindan dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Peter Umbuas ketika dihubungi berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku selepas Proton Wira terbabit dikatakan hilang kawalan apabila menaiki bukit lalu memasuki laluan bertentangan.
“Kesan memasuki laluan bertentangan kenderaan itu telah bertembung dengan sebuah lori yang dalam perjalanan dari Semporna menuju ke Tawau.
“Akibat kemalangan ini wanita yang duduk di bahagian penumpang meninggal dunia manakala pemandunya parah,” katanya hari ini.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE











