PERSATUAN Bola Sepak Selangor (FAS) menerima pemimpin baharu apabila Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerajui badan itu sebagai presiden.
Persetujuan baginda itu dimaklumkan oleh Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani yang berkata, Tengku Amir bertitah, FAS harus melakukan anjakan paradigma dan perubahan yang menyeluruh dalam mengembalikan kegemilangan arena bola sepak Selangor.
“Tengku Amir menyeru rakyat untuk menyokong penuh pembaharuan yang akan dilakukan baginda apabila menerajui FAS,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Sebelum ini, Datuk Seri Subahan Kamal yang dilantik sebagai Presiden FAS pada Februari tahun lalu mengesahkan akan melepaskan jawatannya itu dan memberi laluan kepada Tengku Amir selepas Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) yang akan diadakan pada 3 Julai depan.











