RHB Insurance sasar premium RM5 juta - Utusan Malaysia

RHB Insurance sasar premium RM5 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – RHB Insurance Bhd. (RHB Insu­rance), penyedia insurans am bagi pelanggan runcit dan korporat, menyasarkan premium sebanyak RM5 juta daripada 10,000 pemegang polisinya dalam tempoh 12 bulan.

Jumlah ini bakal diperoleh daripada pelancaran aplikasi mudah alih RHB Insurans Mobile App.

Pengarah Urusannya, Kong Shu Yin berkata, kumpulan itu turut me­nyasarkan 10 peratus daripada jumlah premium taja jamin kasar akan disumbangkan oleh segmen digital dalam masa tiga hingga lima tahun.

Memuatkan artikel berkaitan…

“RHB juga berazam untuk muncul antara lima penyedia insurans utama di pasaran menjelang 2022,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis pelancaran aplikasi tersebut di sini semalam.

Shu Yin menjelaskan, ketika ini, RHB Insurance merupakan syarikat insurans ke-10 terbesar di Malaysia dengan bahagian pasaran premium langsung kasarnya mencecah 4.3 peratus.

“Kami adalah antara 10 syarikat insurans utama bagi kebakaran dan lima syarikat insurans utama untuk perlin­dungan kesihatan dan perubatan.

“Bagi tempoh suku keempat berakhir 31 Dis, 2017, segmen insu­rans kenderaan kami kekal menjadi penyum­bang terbesar dengan meliputi 33 peratus daripada jumlah premium kasar,” katanya.

Selain itu, tambah beliau, aplikasi mudah alih baharu itu membolehkan pengguna mendapatkan insurans kenderaan, perkhidmatan akses bantuan auto sepanjang masa serta memperbaharui cukai jalan masing-masing.

“Kami yakin RHB Insurance Mobile App ini akan menjadi pemangkin dalam mengubah cara pelanggan membeli dan memantau insurans mereka serta pembaharuan cukai jalan dengan hanya menggunakan apli­kasi tunggal,” katanya. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini