PUTRAJAYA 5 Jun – Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor selesai memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes SRC International Sdn. Bhd. selepas berada lima jam di ibu pejabat suruhanjaya itu hari ini.
Video Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
Beliau yang tiba pada pukul 10.45 pagi beredar meninggalkan premis berkenaan pada pukul 3.45 petang selepas selesai memberikan keterangan berhubung siasatan kes SRC International iaitu anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
SRC International adalah anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan diletakkan di bawah Kementerian Kewangan pada 2012.
Pada 26 Jan 2016, bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali mengesahkan bahawa tiada sebarang kesalahan jenayah dilakukan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkaitan kes melibatkan dana RM2.6 bilion dan SRC International Sdn. Bhd.
Rosmah yang tidak memberikan sebarang kenyataan kepada petugas media hanya melemparkan senyuman dan terus menaiki kereta Mercedes Benz berwarna perak dengan plat pendaftaran WQF 11.
Beliau dipercayai terus pulang ke kediamannya di Jalan Langak Duta, Kuala Lumpur.
Kehadiran Rosmah dengan memakai baju kurung biru merah, berselendang merah dan membawa beg tangan merah berjenama Versace turut mencuri tumpuan para jurufoto.
Jumaat lalu, SPRM mengeluarkan notis memerintahkan Rosmah hadir ke ibu pejabat SPRM bagi memberi keterangan dan ia diserahkan di kediamannya pada pukul 4 petang.
Turut menemani beliau ialah anak perempuanya, Nooryana Najwa Najib dan suaminya, Daniyar Kessibayev serta dua peguam, Datuk K. Kumaraendran dan Datuk Geethan Ram Vincent.
Bagaimanapun, Nooryana Najwa dan suaminya dilihat meninggalkan ibu pejabat SPRM lebih awal iaitu pada pukul 11.40 pagi dan kemudian datang semula selepas Rosmah selesai memberi keterangan.
Kumaraendran ketika bercakap kepada pemberita berkata, anak guamnya selesai memberi keterangan kepada SPRM dan Rosmah memberi kerjasama penuh kepada suruhanjaya itu bagi membantu siasatan kes SRC International Sdn. Bhd.











