KUALA LUMPUR – Jumlah perdagangan Malaysia pada April 2018 meningkat 11.7 peratus tahun ke tahun kepada RM155.42 bilion berbanding penurunan sebanyak 3.5 peratus pada Mac lalu.
Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berkata, eksport pada bulan tersebut mencatatkan peningkatan yang kukuh sebanyak 14 peratus tahun ke tahun kepada RM84.24 bilion.
Ini merupakan nilai eksport bulanan kedua tertinggi selepas RM84.47 bi-lion dicatatkan pada bulan sebelumnya.
“Pertumbuhan itu disokong terutamanya oleh peningkatan eksport ke Hong Kong, ASEAN, China, Kesatuan Eropah, Taiwan, Bangladesh dan Korea Selatan.
“Import berkembang sebanyak 9.1 peratus tahun ke tahun kepada RM71.17 bilion. Lebihan dagangan berjumlah RM13.07 bilion, merupakan lebihan dagangan ke-246 bulan berturut-turut sejak November 1997,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam.
MITI menjelaskan, jumlah perdagangan bagi empat bulan pertama tahun ini berjumlah RM597.3 bilion, naik 4.9 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.
Jumlah eksport berkembang 7.8 peratus kepada RM321.87 bilion dan import meningkat 1.6 peratus kepada RM275.43 bilion.
Sehingga kini, lebihan dagangan melonjak sebanyak 68.7 peratus kepada RM46.44 bilion berbanding tempoh sama pada 2017.
Pada bulan tersebut, eksport barangan perkilangan meningkat 16.8 peratus tahun ke tahun kepada RM70.54 bilion. – Bernama











