SINGAPURA – Singapura semalam melancarkan medalion kenang-kenangan menjelang sidang kemuncak antara pemimpin Amerika Syarikat (AS) dan Korea Utara di pulau berkenaan.
Medalion itu tertera perkataan Keamanan Dunia dalam huruf besar.
Tulisan pada medalion itu yang jual oleh kedai online, Singapore Mint, dilengkapi lambang keamanan berupa burung merpati dan dahan pokok zaitun selain hiasan bunga mawar dan magnolia iaitu bunga kebangsaan AS serta Korea Utara.
Di bahagian belakang cenderahati itu yang berharga lebih AS$1,000 (RM3,979) untuk versi emas, menggambarkan dua tangan berjabat di hadapan bendera kedua-dua negara bertarikh 12 Jun 2018.
Pertemuan antara Donald Trump dan Kim Jong-un merupakan yang pertama antara seorang Presiden AS dan pemimpin Korea Utara
Selepas perang mulut selama beberapa bulan, pertemuan itu bertujuan untuk memulakan perbincangan bagi menamatkan program nuklear Korea Utara sebagai balasan untuk insentif diplomatik dan ekonomi.
Pada bulan lalu, White House turut melancarkan syiling peringatan untuk sidang kemuncak itu tetapi mencetuskan keganjilan apabila Trump membatalkan acara tersebut pada 24 Mei lalu dengan memetik ‘permusuhan terbuka’ Pyongyang sebagai punca berbuat demikian.
Beliau bagaimanapun menghidupkan kembali perbincangan empat mata itu.
Pada 2015, Singapura menjadi tuan rumah pertemuan bersejarah antara pemimpin Taiwan dan China, buat kali pertama sejak perang saudara berakhir pada tahun 1949. – Reuters











