Punca kekalahan bumiputera BN di Sarawak - Utusan Malaysia

Punca kekalahan bumiputera BN di Sarawak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELAMA ini Sarawak dianggap kubu selamat Barisan Nasio­nal (BN). Di bawah pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak tidak kurang 60 kali bekas Perdana Menteri itu melawat Sarawak dan membuat pengumuman pelbagai projek pembangunan.

Namun hayat politik BN tidak lama apabila hanya mampu menang 79 kerusi parlimen manakala Pakatan Harapan memenangi 121 kerusi parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu. Warisan Sabah menyumbang lapan kerusi parlimen manakala dua lagi kerusi daripada calon Bebas. Di Sarawak, Pakatan Harapan menang enam kerusi termasuk DAP enam, PKR empat, dan dua lagi kerusi dimenangi oleh calon Bebas dan kini menyertai PKR. BN Sarawak pula tercabar apabila hanya memenangi 19 kerusi berbanding 25 kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) adalah salah satu daripada empat parti komponen BN Sarawak. PBB kalah satu kerusi daripada 14 kerusi parlimen yang ditandingi manakala Parti Rakyat Sarawak (PRS) hanya mampu menang tiga daripada enam kerusi. Parti Demokratik Progresif (PDP) pula menang dua daripada empat kerusi parlimen dan prestasi terburuk adalah Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) yang hanya mampu menang satu daripada tujuh kerusi.

Memuatkan artikel berkaitan…

Berdasarkan kajian di kawasan bumiputera iban dan bidayuh, didapati isu setempat lebih mewarnai faktor kekalahan di Parlimen Selangau, Saratok, Puncak Borneo, Julau, Mas Gading dan Lubok Antu. Kesemua kawasan ini terletak di luar bandar dan pengundi sebelum ini dianggap sebagai pengundi setia BN.

Faktor yang paling pen­ting ialah pemilihan calon yang kurang telus dan kemudian dipengaruhi oleh isu-isu tempatan dan kesemua isu berlegar kepada isu asas seperti bekalan air bersih, jalan kampung dan tanah adat bumiputera (NCR). Inilah hakikatnya apabila kerusi Parlimen Mas Gading jatuh ke tangan DAP manakala kerusi Puncak Borneo, Saratok dan Selangau ditawan oleh PKR. Kerusi Julau dan Lubok Antu pada mulanya ditandingi Bebas, iaitu Larry Sng dan Jugah Muyang kemudian menyertai PKR.

Faktor pemilihan calon adalah isu utama di Parlimen Puncak Borneo. Pemilihan calon dikatakan bukanlah berdasarkan suara akar umbi pengundi. Sebaliknya ditentukan oleh elit politik bidayuh. Ramai dikatakan layak namun tidak terpilih. Ramai juga melobi namun tidak berjaya dan ini menyebabkan berlakulah undi protes dalam kalangan penyokong. Faktor isu tanah NCR adalah pelengkap kepada kekalahan calon BN di Puncak Borneo.

Timbalan Presiden PRS, Joseph Entulu dipecat oleh presidennya sendiri, iaitu Tan Sri James Masing. Justeru, perpecahan parti dan penyokong tidak dapat dielakkan. Ramai melakukan undi protes terhadap BN meskipun Entulu tidak bertanding. Terdapat juga simpati dari rakan komponen BN seperti PBB apabila Entulu dipecat dan ini juga mencetuskan unsur-unsur tidak puas hati terhadap nasib politik Entulu. Isu calon BN dikatakan bukan anak jati Selangau turut dimainkan selain isu tanah NCR.

PKR pula menang apabila meletakkan Baru Bian bertan­ding kerana sebelum ini banyak membantu mewakili penduduk Selangau dalam isu NCR selama ini. Walaupun Bian orang luar namun beliau disukai penduduk tempatan. Calon BN dikatakan terlalu yakin bahawa selagi logo BN digunakan maka calon boleh menang mudah. Sikap sebegini menyebabkan jentera parti tidak bergerak lebih lancar. Namun di kawasan pedalaman kesedaran politik mulai bercambah terutamanya isu peluang pekerjaan tempatan dan kenaikan harga barang keperluan. Dikatakan nasihat veteran politik kurang diberikan perhatian oleh calon BN kerana terlalu yakin pengalaman sebagai peguam korporat dapat digunakan untuk memenangi hati pengundi.

Di Parlimen Lubok Antu, isu calon payung terjun PRS BN menjadi isu utama dan penduduk tempatan kurang mengenali calon BN. Tambahan pula penyandang digugurkan tanpa rela menyebabkan kemarahan penyokongnya. Pengundi Lubok Antu lebih rela memilih calon Bebas daripada calon BN apabila penyandang sebelum ini, iaitu Datuk William Nyalau digugurkan.

Di Julau, faktor populariti Larry Sng yang melawan Joseph Salang yang sudah empat penggal menjadikan Larry menang. Ramai juga kalangan kelompok ahli politik tertentu PRS memprotes dengan menyokong Larry apabila Entulu dipecat.

Terdapat juga simpati terhadap Entulu daripada ahli-ahli PDP (Progressive Democratic Party), lalu menolak calon BN. Malah dikatakan yang menarik di Parlimen Julau apabila orang Iban yang merupakan etnik majoriti terbesar di Parlimen Julau sanggup memilih Larry seorang etnik Cina yang dianggap orang luar. Larry pernah menang bertanding tiket BN sebelum terkeluar daripada parti dan membentuk parti sendiri tetapi parti itu tidak lagi aktif.

Berdasarkan analisis secara mikro ini membuktikan bahawa faktor setempat atau tempatanlah yang paling banyak mempe­ngaruhi keputusan parlimen di kawasan bumiputera.

Sekiranya isu seumpama ini mempunyai impak besar di Sarawak sudah pasti kawasan parlimen lain seperti Sri Aman, Kapit, Kanowit, Lawas, Betong, Batang Lupar, Hulu Rajang, Petrajaya dan Santubong akan menerima tempias yang sama. Namun ini tidak berlaku di Sarawak dan hal ini membuktikan faktor setempat lebih dominan dalam menyumbang kemenangan Pakatan Harapan dan calon Bebas di kawasan-kawasan etnik bumiputera di Sarawak.

PROFESOR MADYA DR. AWANG AZMAN AWANG PAWI ialah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya yang berkhidmat di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya (UM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini