KUALA LUMPUR 5 Jun – Kebergantungan kepada pekerja warga asing perlu dikurangkan secara berperingkat dan digantikan dengan penggunaan automasi dan teknologi.
Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran berkata, automasi dan penggunaan teknologi yang lebih canggih akan mewujudkan permintaan tersendiri bagi pekerja berkemahiran lebih tinggi, yang kebiasaannya datang dengan gaji lebih baik dan boleh diisi oleh pekerja tempatan.
“Kita bagi masa kepada majikan untuk peralihan daripada produktiviti berasaskan buruh kepada teknologi,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri taklimat dan melawat unit latihan bergerak Institusi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) di Bangi, dekat sini, hari ini.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Datuk Dr. Mohd. Gazali Abas; Pengerusi NIOSH, Tan Sri Lee Lam Thye dan Pengarah Eksekutif NIOSH, Ayop Salleh.
Kulasegaran memberitahu, majikan perlu bergerak seiring dengan perkembangan teknologi terkini bagi membolehkan mereka bersaing secara sihat dengan negara-negara lain maju seperti Jerman yang sudah mula melaksanakan industri berasaskan teknologi.
Ditanya mengenai status 1.5 juta pekerja asing berdaftar di Malaysia, Kulasegaran memberi jaminan bahawa mereka tidak akan dihantar pulang.
“Kita tidak boleh menghantar mereka pulang sewenang-senangnya, mereka juga mengeluarkan wang untuk datang bekerja di Malaysia. Penghantaran pulang mereka ke negara asal dengan serta-merta akan memberi implikasi besar kepada sektor-sektor pembinaan, perladangan dan perniagaan yang sebahagian besar bergantung kepada pekerja asing,” jelasnya.











