KUALA LUMPUR 5 Jun – Malaysia mampu menguasai sehingga 70 peratus pasaran terbitan sukuk global yang dianggarkan bernilai antara AS$45 bilion hingga AS$50 bilion (RM178.6 bilion hingga RM198.6 bilion) jika projek pembinaan infrastruktur yang dibiayai oleh terbitan sukuk tidak dibatalkan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbankan Islam CIMB Group, Rafe Haneef berkata, memandangkan beberapa projek mega telah diumumkan pembatalannya oleh kerajaan Pakatan Harapan, penguasaan sukuk global Malaysia diunjur berada pada kadar 50 peratus.
Namun begitu ujarnya, Malaysia masih mampu mengekalkan momentum pertumbuhan pasaran sukuk global.
“Tahun lalu menyaksikan Malaysia menguasai lebih 50 peratus daripada saiz pasaran terbitan sukuk global hasil daripada beberapa projek infrastruktur yang dibiayai oleh sukuk.
“Tahun ini saya fikir momentum itu akan diteruskan biarpun terdapat beberapa projek yang ditangguh dan dibatalkan tetapi sudah tentu sesuatu pembangunan infrastruktur akan tetap diteruskan apabila keadaan kembali stabil,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis Pelancaran Takaful Mulia di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Sun Life Malaysia Takaful, Muhammad Fikri Mohamad Rawi; Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden Sun Life Malaysia, Raymond Lew dan Ketua Serantau Pengurusan Kekayaan Cimb Bank Bhd., Gary Yong.
Tambah Rafe, beliau turut positif Malaysia mampu mengekalkan 50 peratus penguasaan pasaran sukuk global untuk tahun 2018.
“Jika projek-projek mega itu diteruskan Malaysia mampu mencapai sehingga 60 hingga 70 peratus penguasaan pasaran sukuk global,” katanya.
Sementara itu dalam majlis yang sama CIMB Islamic Bank Bhd. (CIMB Islamic), mengunjurkan pendapatan premium melebihi RM10 juta bagi tahun 2018 daripada produk Takaful Mulia yang dilancarkan hari ini.
Yong berkata, sejak polisi baharu itu di perkenalkan pada majlis prapelancarannya tahun lalu, CIMB Islamic telah merekodkan premium bernilai RM3 juta sehingga 31 Disember 2017.
“Kami yakin dapat mencapai sasaran premium 2018 bersandarkan kepada manfaat perlindungan dan ciri-ciri baharu produk yang ditawarkan,” katanya.
Takaful Mulia merupakan polisi takaful pertama di pasaran yang direka khas untuk pelanggan muslim.
Selain menawarkan manfaat perlindungan untuk kematian atau kehilangan upaya kekal, Takaful Mulia turut menawarkan simpanan dan manfaat berkaitan Islam seperti zakat, wakaf, fidyah, sedekah serta haji dan umrah.











