Diagnosis tahap kecederaan lutut kurang 10 saat - Utusan Malaysia

Diagnosis tahap kecederaan lutut kurang 10 saat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Aplikasi Sistem Diagnosis ACL yang dibangunkan penyelidik UniKL BMI mampu membantu pengamal perubatan mengesan tahap kecederaan ACL dengan tepat dan pantas.

SESEORANG yang aktif bersukan terutama bola sepak atau futsal pasti gerun mendengar kecederaan pada ligamen krusiat anterior (ACL).

Tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa kecederaan tersebut merupakan musuh utama kaki sukan itu di seluruh dunia.

Memuatkan artikel berkaitan…

ACL adalah salah satu daripada empat ligamen yang terlibat untuk kestabilan sendi lutut.

Salah satu kecederaan yang kerap berlaku pada sendi lutut adalah terkehel atau terseliuh.

Kecederaan tersebut akan menyebabkan lutut pesakit menjadi longgar, sakit dan bengkak.

Buat masa kini kecederaan pada sendi lutut dikesan melalui kaedah pengimejan resonans magnetik (MRI).

Bagaimanapun, imej MRI yang dilihat menggunakan mata kasar berkemungkinan gagal mengesan dengan tepat atau tersalah diagnosis tahap kecederaan pesakit.

Justeru, sekumpulan penyelidik daripada Universiti Kuala Lumpur British Malaysian Institute (UniKL BMI) yang diketuai oleh Pensyarah Kanan, Seksyen Kejuruteraan Teknologi Elektronik, Dr. Mohd. Zaki Ayob, 46, telah membangunkan Aplikasi Sistem Diagnosis ACL secara automatik dengan menggunakan imej MRI.

Menurut beliau, projek tersebut dapat membantu pakar perubatan di unit radiologi dan ortopedik dalam menganalisa tahap kecederaan ligamen pesakit dengan tepat dan pantas.

“Aplikasi untuk telefon pintar Andriod menggunakan Kepintaran Buatan (AI) ini dibangunkan untuk kegunaan pengamal perubatan di unit radiologi dan ortopedik bagi memastikan analisis yang dijalankan terhadap pesakit ACL dilakukan dengan tepat.

“Ia memberi tumpuan kepada pengenalpastian tiga tahap kecederaan ligamen iaitu ringan, partial tear (separuh koyak) atau complete tear (koyak sepenuhnya),” katanya ketika ditemui Kosmo! di UniKL BMI, Gombak, Selangor baru-baru ini.

Menurut Mohd. Zaki yang berkelulusan Doktor Falsafah (PhD) Kejuruteraan daripada Universiti York, Britain, pengesanan pertama terhadap kecederaan berkemungkinan tidak tepat sekali gus menyebabkan pesakit menerima rawatan yang tidak bersesuaian dengan kecederaan yang dialami.

“Pengesanan tahap kecederaan menggunakan aplikasi ini bermula selepas imbasan MRI diperoleh di peringkat radiologi.

“Imej MRI kemudian akan diimbas menggunakan Aplikasi Sistem Diagnosis ACL dan ukuran kecederaan ligamen akan diambil sekali gus kecederaan dialami pesakit dapat diketahui dengan segera,” jelasnya.

Rujukan

Sementara itu, salah seorang ahli pasukan penyelidik dan merupakan pelajar tahun akhir PhD Elektrik dan Elektronik UniKL, Sazwan Syafiq Mazlan, 30, berkata, dia telah mendapatkan rujukan daripada Persatuan Bola Sepak Perak bagi mengetahui dengan lebih lanjut kecederaan yang sering dialami atlet sukan tersebut.

Hasil maklum balas mendapati terdapat pemain yang disahkan mengalami kecederaan ACL ringan dan hanya diberikan rawatan dalam bentuk ubat dan krim sapu.

Bagaimanapun, selepas dia kembali beraksi di padang, kecederaan tersebut kembali berulang dan diagnosis kali kedua menunjukkan pesakit mengalami kecederaan complete tear yang memerlukan rawatan secara pembedahan.

Menurut anak muda yang juga gemar bersukan tersebut, penyelidikan yang dibangunkan sejak 2015 tersebut bukan sahaja mempercepatkan masa melakukan pengesanan tahap kecederaan ACL tetapi juga mengelakkan pertelingkahan antara pengamal perubatan susulan kesilapan semasa analisa kecederaan dijalankan.

Berjaya

“Proses mengenal pasti kecederaan yang biasanya dipraktiskan di hospital mengambil masa selama tiga bulan.

“Bagaimanapun dengan menggunakan aplikasi tersebut, tempoh diagnosis boleh diselesaikan dalam masa kurang 10 saat,” ujarnya.

Mengulas lanjut, anak kelahiran Ipoh, Perak tersebut berkata, hampir 99 peratus diagnosis menggunakan aplikasi itu berjaya mengesan kecederaan pesakit dengan tepat dan membolehkan pesakit diberikan rawatan sewajarnya.

Justeru, Sazwan Syafiq berkata, ketepatan hasil diagnosis menggunakan aplikasi Sistem Diagnosis ACL membolehkan pesakit diberikan rawatan sewajarnya.

Aplikasi tersebut yang mendapat kerjasama Kementerian Kesihatan dalam proses kajian untuk mengenal pasti keberkesanannya di Hospital Taiping, Hospital Raja Permaisuri Bainun dan Klinik Kesihatan Changkat Jering di Perak.

Ujar Sazwan Syafiq lagi, berdasarkan tinjauan dalam talian, penyelidikan tersebut mendapat sambutan yang menggalakkan daripada sasaran pengguna iaitu pengamal-pengamal perubatan seperti doktor-doktor pakar dan petugas di bahagian pengimejan dan pengurusan.

Hal ini demikian kerana tinjauan yang dijalankan di Hospital Raja Permaisuri Bainon, Ipoh, Perak mendapati belum ada sistem analisa kecederaan ACL seumpama itu dibangunkan di negara ini.

Komersial

Penyelidikan yang dibangunkan melalui Geran Jangka Pendek daripada UniKL berjumlah RM30,000 tersebut telah didaftarkan sebagai harta intelek dan mendapat pengiktirafan paten separuh.

Sehingga kini, penyelidikan tersebut telah meraih beberapa kejayaan termasuk Anugerah Khas Eropah dan pingat emas untuk pertandingan International Engineering Invention and Innovation (i-Envex) pada 2016.

Terkini, aplikasi Sistem Diagnosis ACL memenangi pingat emas untuk Pameran Reka Cipta, Inovasi dan Teknologi Antarabangsa (ITEX) pada 2018.

Tambahnya lagi, mereka juga menerima cadangan untuk mengkomersialkan hasil penyelidikan tersebut ke peringkat antarabangsa dan menyasarkan untuk menjual sistem tersebut pada harga RM799 bagi satu lesen.

Dalam perkembangan yang sama, seorang lagi penyelidik, Muhammad Hanif Razali, 24, pula berkata, dia akan meneruskan penyelidikan untuk meningkatkan lagi keberkesanan produk tersebut.

“Saya akan menyambung penyelidikan ini tanpa mengubah idea asal sebaliknya lebih menumpukan kepada penambahbaikan dan mewujudkan rangkaian komersial.

“Kami berharap projek ini dapat memberi manfaat kepada golongan pengamal perubatan dan digunakan di seluruh hospital,” ujar anak kelahiran Besut, Terengganu itu yang sedang mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini