Bapa sumber inspirasi Norhana sertai tentera - Utusan Malaysia

Bapa sumber inspirasi Norhana sertai tentera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANGANNYA memegang kemas kepingan jubin kecil yang dikutip berdekatan rumahnya di Kuarters Pusat Latihan Belia Dusun Tua, Hulu Langat di Selangor.

Sambil mata melihat pada permainan tenteng, mulutnya menghembus-hembus jubin itu, berharap ia jatuh tepat di petak yang dikehendaki.

Namun, belum sempat dilontar jubin tersebut, telinga anak gadis berusia empat tahun itu menangkap sayup-sayup deruman enjin di udara yang semakin dekat.

Memuatkan artikel berkaitan…

Tidak lama kemudian, sebuah helikopter muncul di udara. Semakin lama jentera berwarna hijau itu semakin mendekat dan akhirnya mendarat penuh bergaya di padang pusat latihan yang kini dikenali sebagai Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Dusun Tua.

Norhana dan empat lagi rakan yang berada di luar pagar padang terpegun. Mereka melihat kipas helikopter yang berpusing laju semakin perlahan.

Mata Norhana terpaku pada susuk seorang tentera yang turun dari sisi kanan helikopter tersebut.

Pada hematnya, lelaki tersebut sangat hebat kerana berupaya mengemudi helikopter yang sangat besar, tanpa mengetahui bahawa ia merupakan jentera kebanggaan negara, Nuri.

Siapa sangka, kenangan zaman kanak-kanak itu akan menjadi sebahagian daripada kisah hidup Leftenan Kolonel Norhana Abd. Manaf, 43, juruterbang helikopter wanita pertama negara pada usia 22 tahun.

Pegawai Staf Gred Satu Rancang Pegawai, Markas Tentera Udara, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) baru-baru ini berkongsi tentang perjalanan beliau dalam bidang ketenteraan ketika ditemui Kosmo! di pejabatnya di Wisma Pertahanan, Jalan Padang Tembak, Kuala Lumpur.

“Saya kira peristiwa tersebut sebagai jalinan hubungan saya yang pertama dengan helikopter. Ia membuatkan semangat saya untuk menjadi seorang tentera semakin berkobar-kobar,” ujar Instruktor Helikopter Berkelayakan (QHI) TUDM itu.

Minatnya terhadap ketenteraan sudah dipupuk awal sebelum peristiwa melihat helikopter tersebut lagi.

Bapanya, Allahyarham Kapten Abd. Manaf Yaacob adalah insan yang bertanggungjawab memperkenalkannya pada kerjaya sebagai anggota beruniform.

Lasak

“Ayah merupakan seorang pegawai disiplin di markas tentera British yang kini menjadi IKTBN sekitar tahun 1950-an.

“Sekeping foto ayah tegap berdiri dengan pakaian seragam tentera berwarna coklat muda yang berada di dinding membuatkan saya tertarik dan mahu menjadi sepertinya,” kongsi anak ke-13 daripada 15 orang beradik itu.

Pada waktu itu, fokus utamanya bukanlah untuk menjadi seorang juruterbang, tetapi hanyalah seorang askar tanpa meletakkan sasaran pangkat mahupun pilihan jenis ketenteraan.

Aktif dalam sukan bola jaring, bola tampar, hoki, lempar cakera dan melontar lembing, Norhana disifatkan sebagai paling lasak dan berani dalam kalangan 10 adik-beradik perempuannya.

Meskipun tiada ahli keluarganya yang mengikut jejak si ayah sebagai seorang tentera, cita-citanya tidak pernah dihalang oleh keluarga.

“Tamat sahaja peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia, saya terus menyertai pasukan pertahanan.

“Sementara menunggu panggilan temu duga, saya menyambung pelajaran dalam Diploma Sains Kesetiausahaan di Universiti Teknologi Mara cawangan Kuantan, Pahang,” jelasnya.

Pada semester akhir pengajian, barulah dia dipanggil untuk menjalani temu duga di Kem Majidee, Johor menerusi permohonan Skim Pegawai Graduan. Menaiki perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu dari kampungnya ke Johor berseorangan, beliau membulatkan tekad untuk hadir ke temu duga tersebut.

Latihan

Di sana, beliau perlu melalui pelbagai peringkat temu duga termasuk latihan fizikal dan pemeriksaan perubatan serta ujian kecenderungan udara (aptitud).

Lulus dengan cemerlang bagi kesemua prosedur tersebut terutamanya aptitud, Norhana dipilih menyertai pasukan udara sekali gus menjadikannya sebagai kumpulan ketiga juruterbang wanita yang memasuki TUDM pada waktu itu.

Beliau bersama dua lagi rakan wanita, Leftenan Kolonel Fauziah Yusof dan Kapten Suzi Sid mengikuti latihan asas ketenteraan selama enam bulan sebelum layak menjalani latihan penerbangan.

“Kami dilepaskan di tengah lautan dan hutan, memburu binatang untuk santapan dan mandi lumpur dalam latihan ikhtiar hidup sama seperti rakan lelaki lain,” kongsinya yang menyifatkan latihan asas ketenteraan sebagai fasa kegemarannya dalam TUDM.

Tambahnya, pernah suatu hari ketika menjalani latihan di Gunung Jerai, Kedah, pasukannya tersalah memangkas ranting pokok bebuta untuk dijadikan unggun kayu api.

“Bangun sahaja dari tidur, mata kami semua sepet dan membengkak. Rupa-rupanya pokok tersebut mengandungi getah beracun, namun ia tidak begitu serius.

“Memang pelik melihat jurulatih dan rakan lelaki tidak mengambil pokok tersebut. Fikir kami mereka ingin memberi ‘laluan’, rupa-rupanya ia pokok bebuta,” katanya yang ditauliahkan sebagai pegawai TUDM berpangkat Leftenan pada September 1996.

Norhana kemudiannya, mengikuti latihan asas penerbangan di Kolej Tentera Udara (KTU) Kepala Batas di Alor Setar, Kedah dan telah lulus menerima sayap penerbangan.

Melihat kepada potensi dirinya, Komandan KTU, Datuk Johnny Loh Kok Kong menyarankan agar beliau mengikuti kursus lanjutan menerbangkan helikopter.

Kebetulan, keperluan perkhidmatan pada ketika itu memerlukan juruterbang helikopter dan belum ada dalam kalangan wanita yang mengemudi jentera tersebut dalam TUDM.

“Saya berfikir sebentar. Automatik, minda teringatkan peristiwa melihat helikopter mendarat sewaktu kecil dahulu.

“Jadi, saya sahut cabaran tersebut. Pertama kali mengendalikan helikopter iaitu Aloutte III, ternyata ia sangat berbeza berbanding mengawal pesawat ketika dalam latihan. Ia lebih besar dan kawalan fiziknya juga berbeza kerana ia mempunyai bilah rotor,” jelasnya.

Cabaran

Berkat sokongan keluarga, jurulatih dan rakan-rakan, Norhana berjaya melengkapkan syarat menerbangkan Aloutte III selama 54 jam sekali gus merupakan pegawai wanita pertama dalam TUDM menerbangkan helikopter pada tahun 1997.

Beliau kemudian dihantar menjalani latihan simulator helikopter di Norway dan United Kingdom sebelum beralih kepada Nuri.

Sepanjang 14 tahun menerbangkan helikopter, ada satu kisah yang tidak mungkin dilupakan.

“Pada tahun 2007, saya ditugaskan mengemudi helikopter dalam misi mencari sebuah lagi helikopter Nuri yang terhempas di Gunung Sempah di Genting Highlands.

“Juruterbang yang maut itu adalah kawan baik saya sendiri. Saya sedih, namun perlu tabahkan hati agar tiada sebarang kesilapan dibuat seterusnya menyebabkan lebih banyak perkara buruk berlaku,” ujarnya.

Kekuatan mental dan fizikal adalah perkara yang paling penting jika bergelar juruterbang.

“Paling penting, kita harus bersedia untuk melakukan yang terbaik, fokus dan bekerja keras mengenai apa jua tentang jentera kendalian kita termasuk penyelenggaraan.

“Yakini kemampuan diri dan lakukan apa sahaja yang anda impikan walaupun pekerjaan itu didominasi lelaki,” katanya.

Allahyarham Kapten Abd. Manaf Yaacob adalah insan yang bertanggungjawab memperkenalkan Norhana pada kerjaya sebagai anggota beruniform.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini