PUTRAJAYA 5 Jun – Kementerian Kewangan hari ini mendedahkan satu lagi skandal didakwa berhubung kait dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) serta Low Taek Jho atau Jho Low melibatkan syarikat Suria Strategic Energy Resources Sdn. Bhd. (SSER) dengan nilai sebanyak RM9.4 bilion.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, SSER merupakan anak syarikat Kementerian Kewangan yang ditubuhkan pada 19 Mei 2016 untuk tujuan menjalankan dua projek berasingan iaitu Multi-Product Pipeline (MPP) dan Trans-Sabah Gas Pipeline (TSGP) yang mana kedua-dua projek telah diluluskan Kabinet pada 27 Julai 2016.
Katanya, jumlah yang sudah dibayar oleh kerajaan pada waktu itu adalah sebanyak RM8.25 bilion iaitu 87.8 peratus daripada nilai keseluruhan projek berbanding purata kemajuan kerja sebanyak 13 peratus di mana projek tersebut perlu disiapkan dalam masa dua tahun lagi.
“Kami mendapat tahu yang hampir keseluruhan jadual pembayaran bagi kedua-dua kontrak berdasarkan pencapaian masa (timeline milestone) dan bukannya berdasarkan kemajuan kerja secara progresif.
“Yang lagi memburukkan, 85 peratus daripada nilai projek-projek ini perlu dibayar pada 1 Mac lalu,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Terdahulu, beliau menerima sumbangan Matrix Concepts Holdings Berhad sebanyak RM3 juta untuk Tabung Harapan Malaysia (THM) yang diwakili Pengarah Urusannya, Datuk Lee Tian Hock.
Jumlah kutipan THM setakat pukul 1 petang adalah sebanyak RM35.3 juta.
Sementara itu, Guan Eng berkata, beliau telah mengarahkan pegawainya membuat satu laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada minggu lalu dan skandal berkenaan telah dimaklumkan kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
“Saya juga ingin menjemput bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menerangkan mengapa dan bagaimana transaksi-transaksi berkaitan SSER dibenarkan beliau,” katanya.
Dalam pada itu, Guan Eng menambah, kerajaan tidak bercadang untuk menambat nilai ringgit. – UTUSAN ONLINE











