KUALA LUMPUR 5 Jun – Perbincangan khas Raja-Raja Melayu berhubung isu Peguam Negara yang dijadualkan di Istana Negara di sini hari ini dibatalkan.
Difahamkan, pembatalan perbincangan tersebut dilakukan susulan perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V berhubung pelantikan Tommy Thomas sebagai Peguam Negara yang baharu.
Pemakluman perkara berkenaan dilakukan menerusi sepucuk surat bertarikh 4 Jun yang turut mengampuni perkenan penamatan khidmat Tan Sri Apandi Ali dari jawatan yang sama oleh kerajaan.
Tinjauan Utusan Online di hadapan pintu masuk satu Istana Negara mendapati tiada sebarang pergerakan keluar masuk sejak pukul 7 pagi lagi melalui pintu tersebut.
Pemakluman mengenai pembatalan perbincangan khas Raja-Raja Melayu disampaikan oleh pihak polis kepada pengamal media yang membuat liputan di sekitar pekarangan luar Istana Negara pada pukul 11.10 pagi, 10 minit lewat daripada mesyuarat tersebut dijadual diadakan. – UTUSAN ONLINE











