Sri Lanka bina projek tebatan banjir di Colombo - Utusan Malaysia

Sri Lanka bina projek tebatan banjir di Colombo

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANDSKAP bandar raya Colombo kelihatan sama seperti bandar-bandar besar di seluruh Asia Selatan yang lain.

Ibu negara Sri Lanka itu turut dipayungi bangunan pencakar langit dengan pelbagai reka bentuk moden serta canggih.

Namun, di sebalik kemegahan pembangunan bandar itu, Colombo sebenarnya menyimpan banyak kisah silam yang cukup unik.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bandar itu didirikan di atas tapak kawasan takungan air yang dilengkapi dengan terusan sepanjang 30 kilometer, berfungsi untuk menyerap hujan lebat dari Lautan Hindi.

Tapak itu adalah antara kawasan tanah lembap atau popular yang dikenali sebagai wetlands yang dikhaskan bagi melindungi Sri Lanka daripada berdepan banjir besar suatu ketika dahulu.

Namun, sejak empat dekad lalu, banyak kawasan tanah lembap ditambak bagi tujuan pembinaan bangunan, terutamanya di Colombo.

Sistem kawalan banjir kemudiannya hanya bergantung pada saluran perparitan yang moden.

Malangnya, sistem baharu itu dilihat gagal membendung masalah banjir dengan baik.

“Banjir lumpur terlalu kerap berlaku sejak tahun 1970. Pola hujan mula menunjukkan perubahan drastik apabila turun tidak lama tetapi sangat lebat.

“Peralihan itu menjejaskan Colombo yang juga rumah kepada lebih satu perempat daripada 21 juta penduduk di Sri Lanka,” keluh Timbalan Pengurus di Perbadanan Penambakan dan Pembangunan Tanah Sri Lanka, N. S. Wijayaratne.

Perkara sama turut dikongsi seorang konsultan di World Bank yang terletak di tengah bandar Colombo, Nadeera Rajapakse Rubaroe.

“Banjir yang melanda terlalu teruk. Pernah juga bandar ini lumpuh selama seminggu sehingga membawa kerugian mencecah AS$100 juta (RM398 juta) akibat banjir pada tahun 2010,” kongsinya.

Menurut pakar, salah satu punca masalah banjir itu ialah berikutan terlalu banyak kawasan tanah lembap ditambak.

Komersial

Tambah buruk, kawasan tanah lembap yang berbaki turut dibiarkan tidak terjaga.

Keadaan itu menyebabkan lebih 40 peratus air hujan tidak dapat diserap, sekali gus menyebabkan banjir.

Memandang serius mengenai hal itu, kerajaan Sri Lanka mengambil langkah untuk mengaktifkan semula penggunaan kawasan tanah lembap terbiar termasuk di sekitar tasik sebagai kawasan rekreasi.

Pada pandangan kerajaan, apabila kawasan seumpama itu dikomersialkan sebagai tempat awam, ia akan dikunjungi oleh pelancong, sekali gus membantu mengelak daripada menjadi tanah terbiar.

“Apabila ada kunjungan, kami pasti akan sentiasa memastikan taman tasik terjaga dan diselenggara dengan baik.

“Pembangunan semula ini bukan sahaja dapat memberi keselesaan kepada penduduk tetapi menjamin kelancaran air hujan untuk mengalir dengan lebih baik tanpa menyebabkan banjir besar,” jelas Wijayaratne.

Untuk tujuan itu, dua kawasan tasik berdekatan bangunan Parlimen di Baddagana dan Diyasaru Thalawathugoda mula dibangunkan kira-kira tiga tahun lalu.

Kewujudan kedua-dua taman rekreasi itu berjaya menghalang banjir besar (2010) seperti yang berlaku ketika hujan monsun pada tahun 2016 dan 2017.

“Kami percaya, banjir paling teruk dengan air setinggi 1.6 meter pada tahun 2010 mungkin meningkat sehingga 1.8 meter pada tahun berikutnya, jika projek ini tidak dimulakan,” katanya.

Lantaran keberkesanannya, 10 lagi lokasi berdekatan tasik akan dibangunkan tidak lama lagi.

Sementara itu, Pengurus Taman Baddagana, Sameera Premathana berharap, masyarakat setempat akan terus menyokong usaha kerajaan menjadikan taman rekreasi sebagai ‘penyelamat’ kepada masalah banjir di Colombo.

Tambahnya, Taman Baddagana yang menawarkan laluan merentasi kawasan paya bakau bukan sahaja menjadi kawasan tadahan hujan yang baik tetapi membantu ekonomi penduduk tempatan.

Penduduk sekitar mengambil peluang menjalankan perniagaan makanan serta menyediakan perkhidmatan tempat meletak kenderaan di taman yang kini menjadi antara destinasi tumpuan pelancong di Colombo. – Reuters

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini