KOTA BHARU – Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V hari ini berkenan berangkat ke Majlis Pengurniaan Sumbangan dan Majlis Berbuka Puasa Bersama Anak-anak Yatim Negeri Kelantan di Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra, Panji di sini.
Berangkat sama Pemangku Raja Kelantan, Dr. Tengku Muhammad Faiz Petra, Tengku Temenggong Kelantan, Tan Sri Tengku Muhammad Rizam Tengku Aziz serta kepimpinan kerajaan negeri diketuai Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.
Selepas berbuka puasa, Sultan Muhammad V yang juga Sultan Kelantan menyertai kira-kira 500 jemaah menunaikan solat Maghrib yang diimamkan Pensyarah Maahad Tahfiz Al-Quran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik), Shahril Muhaimin Ismail.
Baginda kemudian bersama-sama jemaah menunaikan solat Isyak dan solat Tarawih.
Seri Paduka Baginda kemudian berkenan menyampaikan sumbangan kepada 101 Anak-anak Yatim Darul Aitam Putri, Panji.
Sementara itu, Tengku Muhammad Faiz Petra berkenan menyampaikan sumbangan kepada 95 pelajar Maahad Tahfiz Al-Quran Maik. – K! ONLINE











