SHAH ALAM – Seorang pemandu kereta Volkswagen maut setelah dipercayai memandu secara laju sebelum terbabas dan melanggar tebing tembok batu berhampiran lampu isyarat Persiaran Kerjaya – Jalan Pengaturcara di sini petang tadi.
Dalam kejadian pukul 1.34 petang, Yahya Ismail, 42, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala dan badan.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari’at berkata, berdasarkan maklumat saksi kejadian mendakwa Yahya memandu laju dari arah Jalan Pengaturcara sebelum melanggar motosikal jenis Honda dinaiki warga Bangladesh berusia 38 tahun dari arah bertentangan.
“Volkswagen dipandu Yahya kemudiannya terbabas sebelum melanggar tebing tembok batu di sebelah kiri jalan.
“Yahya disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan penunggang motosikal yang cedera itu telah dibawa ke Hospital Shah Alam untuk tindakan lanjut,” katanya di sini hari ini.
Jelas beliau, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan berhubung Inspektor Mohd. Zulkifli Razak di talian 019-447 5767.
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE











