KUALA LUMPUR 4 Jun – Calon Peguam Negara perlu dilantik dari kalangan yang mempunyai sikap ‘peduli Raja, peduli Islam’.
Menurut Unit Komunikasi Strategik Ibu Pejabat UMNO, sikap tersebut selaras dengan kesedaran agama yang sihat di kalangan rakyat serta keadaan negara yang mengamalkan prinsip Raja berpelembangaan.
“Peduli Raja bermaksud memahami, menghormati dan mendaulatkan institusi Raja-Raja Melayu.
“Peduli Islam ertinya calon itu mestilah orang Islam dan mempunyai kefahaman serta penghayatan Islam sepenuhnya termasuk hal-ehwal undang-undang syariah,” kata Unit Komunikasi Strategik Ibu Pejabat UMNO dalam satu kenyataan akhbar hari ini.
Menurut kenyataan tersebut, banyak perkara berkaitan perundangan memerlukan persetujuan Peguam Negara dan calon yang tidak menghormati dan mendaulatkan institusi Raja-Raja Melayu boleh mendatangkan mudarat kepada keyakinan rakyat terhadap institusi Diraja.
Justeru isu pemilihan Peguam Negara perlu dilaksanakan secara bijak dan berhemah selaras dengan kepentingan dan kemaslahatan agama Islam.
Ia juga harus melalui proses tanggungjawab meluas dalam kerjaya undang-undang kekananan negara mengikut Perlembagaan Persekutuan. –UTUSAN ONLINE











