MANJUNG – Polis telah menyelesaikan kes seorang lelaki warga emas menembak mati seorang rakannya sebelum bertindak membunuh diri di Sitiawan, Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Polis Muhammad Hanif Othman berkata, kesemua saksi dan waris suspek serta mangsa telah tampil memberi keterangan kepada polis semalam.
“Waris dan saksi hadir ke Ibu Pejabat Daerah Manjung petang semalam untuk dirakamkan percakapan dan berdasarkan keterangan itu kes ini dianggap selesai,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Muhammad Hanif berkata, mayat kedua-duanya juga telah dituntut oleh waris masing-masing selepas urusan bedah siasat selesai semalam.
“Hasil bedah siasat mendapati kematian mangsa disebabkan luka tembakan pada paha dan lengan kiri manakala suspek meninggal dunia kerana luka tembakan di kepala,” katanya. – Bernama











