Mustapa wajar tawar diri jadi Presiden UMNO - Utusan Malaysia

Mustapa wajar tawar diri jadi Presiden UMNO

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 2 Jun – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Mustapa Mohamed merupakan salah seorang daripada dua pemimpin dari negeri ini yang disebut-sebut wajar menawarkan diri untuk bertanding jawatan Presiden UMNO.

Seorang lagi ialah Ketua UMNO Bahagian Gua Musang yang juga veteran parti paling lama berkhidmat sebagai Ahli Parlimen di negara ini iaitu Tengku Razaleigh Hamzah.

Baik Mustapa mahupun Tengku Razaleigh, kedua-dua pemimpin disegani ini setakat ini masih mengunci rapat mulut mereka dan belum mengeluarkan sebarang komen berhubung perkara itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Mustapa, 68, yang pernah memegang jawatan menteri kanan ketika era Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Tun Razak bagaimanapun dikatakan menjadi pilihan utama generasi muda untuk memimpin UMNO.

Difahamkan, sekumpulan anak muda terdiri daripada akar umbi Pemuda UMNO, belia dan mahasiswa telah bertemu sendiri Mustapa semalam, semata-mata mahu memujuk Ahli Parlimen Jeli itu tampil merebut jawatan nombor satu parti.

Selain pengalaman luas Mustapa dalam pentadbiran negara, asas desakan mereka ialah mahu teraju UMNO dikembalikan kepada rakyat biasa dengan prestasi luar biasa, bukan lagi terus dipegang kelompok berdarah ‘bangsawan’.

Mereka juga berpendapat Mustapa mempunyai kelebihan berbanding kebanyakan pemimpin UMNO lain kerana keperibadiannya.

Beliau bebas dari salah laku, tidak terpalit dengan sebarang skandal atau kontroversi, beretika ketika berpolitik dan kuat bekerja. Lebih menarik, beliau dihormati kawan dan pihak lawan.

Malah Tun Daim Zainuddin pernah menyifatkan Mustapa sebagai ‘budak baik’ kerana sikap lurus, amanah, bijak dan kuat pegangan agama walaupun beliau ketika itu sedang berkempen untuk Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) di Kelantan.

Sementara itu, ketika dihubungi hari ini, Mustapa mengakui, ada mendengar desakan dan hasrat akar umbi supaya beliau menawarkan diri bertanding jawatan Presiden dalam pemilihan UMNO kali ini.

Walau bagaimanapun katanya, beliau belum bersedia membuat sebarang pertimbangan dan hanya akan memaklumkan kemudian keputusannya.

“Sebenarnya ada lagi yang lebih baik berbanding saya,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini