TANGGAL 24 Jun ini, genap enam tahun Tan Sri Dr. Ali Hamsa berkhidmat sebagai Ketua Setiausaha Negara (KSN).
Beliau yang merupakan Ketua Pengarah, Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS), Jabatan Perdana Menteri (JPM) dilantik ke jawatan itu menggantikan Tan Sri Mohd. Sidek Hassan yang tamat kontrak perkhidmatan pada 23 Jun 2012.
Sebagai KSN, Ali, 63, merupakan ketua sektor perkhidmatan awam di Malaysia. Kedudukan itu menjadikan beliau antara individu paling penting dalam pentadbiran kerajaan selepas Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan ahli Kabinet.
Biarpun begitu, perubahan tampuk kepimpinan negara pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) baru-baru ini menyaksikan berlakunya rombakan besar-besaran dalam sistem pentadbiran awam.
Ia termasuk penamatan dan pertukaran jawatan beberapa pegawai tertinggi kerajaan di kementerian dan jabatan tertentu selain penstrukturan semula agensi-agensi berkaitan.
Justeru, timbul persoalan mengenai kedudukan jawatan Ali selepas ini. Ia berikutan ada cakap-cakap yang menyatakan tahun ini merupakan tahun terakhir beliau sebagai KSN. Beliau kini berusia 63 tahun.
Hakikatnya, jawatan KSN bukanlah asing dalam sistem pentadbiran awam di Malaysia. Malah, sejak kemerdekaan negara sehingga kini hanya terdapat seramai 13 individu pernah dilantik menggalas jawatan tersebut dan berkhidmat di bawah tujuh Perdana Menteri.
KSN pertama ialah Tun Dr. Abdul Aziz Abdul Majid yang berkhidmat selama lapan tahun di bawah pentadbiran Perdana Menteri pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.
Sementara itu, Ali yang berasal dari Kluang, Johor merupakan KSN terakhir yang berpeluang berkhidmat di bawah dua Perdana Menteri iaitu, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Pensyarah Kanan, Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Ahmad Martadha Mohamed berkata, sistem pentadbiran awam di negara ini banyak dipengaruhi sistem yang pernah digunakan oleh British satu ketika dahulu.
Katanya, golongan Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) atau dikenali Malayan Administrative Service ketika itu diwujudkan oleh penjajah bagi memberi peluang kepada orang Melayu berkhidmat dalam kerajaan.
Amalan biasa
“KSN lazim dilantik dalam kalangan hierarki PTD yang paling tinggi dan kanan dalam perkhidmatan awam di negara ini,” katanya ketika dihubungi Jurnal baru-baru ini.
Tambah Ahmad Martadha, berdasarkan amalan biasa, jawatan KSN disandang kalangan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KKPA), Timbalan Ketua Setiausaha Kanan di JPM atau Ketua Setiausaha (KSU) kementerian.
Bagaimanapun, katanya, pengumuman Ali sebagai KSN pada tahun 2012 sememangnya tidak dijangka kerana terdapat beberapa nama pegawai kanan lain yang turut disebut-sebut ketika itu.
“Apa pun, ia bukan sesuatu yang mengejutkan kerana pelantikan KSN berdasarkan penilaian dan budi bicara Perdana Menteri selaku ketua kerajaan.
“Ini kerana KSN merupakan orang kepercayaan Perdana Menteri dan bertanggungjawab melaksanakan dasar-dasar yang ditetapkan kerajaan.
“Pada masa sama, KSN juga berperanan menghadiri mesyuarat Kabinet sebagai Setiausaha Kabinet di samping mempengerusikan mesyuarat KSU kementerian untuk tujuan penyelarasan kementerian dan melaporkan keputusan mesyuarat Kabinet tentang dasar kerajaan,” ujarnya.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara, cawangan Kelantan, Dr. Iskandar Hasan Tan Abdullah berkata, sebagai ketua sektor perkhidmatan awam di Malaysia, KSN bertanggungjawab dalam setiap isu yang berbangkit melibatkan anggota perkhidmatan awam.
“KSN mengepalai kira-kira 1.6 juta penjawat awam di negara ini dan ia bukan satu tugas yang mudah. Sebab itu, kalangan bekas KSN sebelum ini terdiri daripada pegawai kanan kerajaan yang berpengalaman bertugas di pelbagai kementerian dan jabatan.
“Ini memastikan mereka benar-benar bersedia untuk menyelesaikan sebarang permasalahan membabitkan perkhidmatan awam di negara ini,” ujarnya.
Menjelaskan mengenai tradisi pelantikan KSN di negara ini, Iskandar Hasan berkata, ia lazim disandang kalangan PTD yang mempunyai gred tertinggi iaitu bermula dari Turus 3 sehingga Turus 1.
Jelasnya, di bawah pentadbiran kerajaan terdahulu terdapat 17 jawatan yang mempunyai kelayakan gred tersebut dan boleh dipertimbang sebagai KSN yang baharu.
Antaranya katanya, ialah KPPA (Turus I); Ketua Pengarah Kesihatan (Turus II); Ketua Akauntan Negara (Turus III) dan Ketua Pengarah Pelajaran (Turus III).
“Jawatan ini terdapat dalam kerajaan terdahulu tetapi masih digunakan dalam kerajaan baharu namun belum distrukturkan lagi berikutan penubuhan kementerian masih belum selesai.
“Justeru, disebabkan faktor tersebut sukar untuk sesiapa membuat telahan siapa calon-calon bakal KSN dan daripada jawatan mana ketika ini,” katanya
Menurut Iskandar Tan, beliau juga tidak menolak kemungkinan bakal KSN terdiri daripada pentadbir bukan daripada PTD.
“Dalam usaha membentuk Malaysia baharu, Mahathir pasti mahu melakukan perubahan secara besar-besaran dalam perkhidmatan awam seperti yang pernah dilakukan beliau sekitar tahun 1990-an dahulu.
“Ini kerana keutamaan pastinya diberikan kepada individu yang bukan sahaja efisien dan efektif dalam pentadbiran malah mempunyai akauntabiliti dan intergriti yang tinggi,” katanya.











