Tengku Amir nasihat Shahril kekal dalam FAS - Utusan Malaysia

Tengku Amir nasihat Shahril kekal dalam FAS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 1 Jun – Datuk Seri Shahril Mokhtar menarik balik surat peletakan jawatan sebagai Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) atas nasihat Raja Muda Selangor (RMS), Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Beliau turut membuat keputusan itu selepas Jawatankuasa Eksekutif (Exco) yang bermesyuarat semalam menolak peletakan jawatannya.

Shahril berkata, Tengku Amir sendiri telah menitahkan kepadanya awal minggu ini agar terus kekal membantu FAS sekalipun tanpa Presidennya, Datuk Seri Subahan Kamal yang meng­umumkan bakal melepaskan kerusi No. 1 itu menerusi peralihan kuasa dalam mesyuarat agung luar biasa (EGM) pada 3 Julai ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Raja Muda telah menitahkan begitu jadi saya sebagai anak jati Selangor tidak sanggup untuk berkata tidak. Exco pun dalam mesyuarat semalam memutuskan untuk tidak menerima peletakan jawatan saya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Shahril sebelum itu mengesahkan sudah mengutus surat peletakan jawatan No. 2 FAS itu pada 12 April lalu dengan alasan tidak sanggup melihat bola sepak dicampuradukkan dengan politik sehinggakan sukar mendapat sokongan kerajaan negeri.

Selangor juga masih tidak dapat menggunakan Stadium Shah Alam, yang merupakan gelanggang keramat mereka sepanjang kempen Liga Malaysia musim ini sebaliknya terpaksa berkelana ke Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur.

Subahan yang memberikan alasan terbeban dengan banyak komitmen lain sebagai Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) dan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), turut menamakan Tengku Amir sebagai Presiden FAS yang ke-14.

“Sudah sampai masanya saya melepaskan jawatan itu dan saya fikir Raja Muda yang paling layak (mengisi kerusi Presiden FAS). Saya sendiri terlalu banyak komitmen termasuk dalam sukan hoki (MHC),” katanya di Kelana Jaya semalam.

Subahan juga ialah orang yang membawa masuk Shahril, yang merupakan anak jati Petaling Jaya, sebagai Timbalan Presiden FAS menerusi EGM di Shah Alam pada 23 Februari tahun lalu.

“Datuk Seri Subahan amat menyokong, profesional dan gentleman supaya saya kekal sebagai Timbalan Presiden FAS.

“Katanya, sekurang-kurang­nya dengan kekalnya saya dalam FAS, segala tugas yang kami mulakan bersama masih boleh terus disambung.

“Paling penting keputusan saya ini ialah sebagai menghormati titah nasihat Raja Muda Sela­ngor,” katanya, me­rujuk kemungkinan ada pihak yang cuba menyifatkannya seperti membuat pusingan U dalam keputusan itu.

Jika peralihan kuasa itu berjalan lancar, FAS bakal menjadi ahli gabungan FAM yang ketiga menyaksikan terajunya berpindah tangan selepas Persatuan Bola Sepak Kedah dan Melaka Uni­ted sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 10 Mei lalu.

Kepemimpinan persatuan bola sepak Terengganu dan Sabah mahupun Negeri Sembilan turut dikatakan bakal ‘terusik’ dalam seminggu dua lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini