Komitmen Shafie penentu masa depan Warisan - Utusan Malaysia

Komitmen Shafie penentu masa depan Warisan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DEMOKRASI zaman moden yang dilalui Malaysia ketika ini memperlihatkan perubahan besar apabila tampuk pemerintah bertukar tangan hampir 360 darjah di seluruh negara.

Suara pengundi seramai lebih 14 juta orang, mewakili kira-kira 50 peratus penduduk Malaysia, telah membuktikan bahawa suara rakyat adalah lebih berkuasa daripada kekuasaan sebuah parti.
Tempias kepada tsunami yang dijelmakan rakyat pelbagai kaum itu turut menggoncang politik Sabah yang akhirnya menyaksikan sebuah parti yang baru berusia dua tahun dipilih sebagai kerajaan.
Bukan sesuatu yang aneh apabila negeri berkapasiti 3.9 juta penduduk yang majoritinya terdiri daripada kaum bumiputera memilih Warisan. 

Sejarah lalu telah membuktikan bahawa rakyat Sabah memang cenderung untuk bertukar kerajaan.
Dua parti utama sebelum ini yang berkuasa sebagai pemerintah, Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) dan Berjaya telah diundi keluar oleh rakyat.
USNO yang ditubuhkan pada 1967 ditumbangkan oleh Berjaya, parti yang diasaskan oleh pemimpin serpihan USNO pada Pilihan Raya Negeri tahun 1976.
Berjaya kemudian dikalahkan pula oleh Parti Bersatu Sabah (PBS) pada 1985 sebelum PBS sendiri akhirnya terpaksa berkongsi kuasa dengan UMNO dan komponen lain untuk membentuk kerajaan BN pada awal 1990-an.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kejutan

Kini, selepas hampir 20 tahun di bawah pemerintah BN, situasi sama berulang bila mana Warisan, parti yang dijenamakan semula oleh bekas pemimpin kanan UMNO iaitu Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal menerusi kerjasama dengan pemimpin muda tempatan, Darrel Leiking, berjaya membentuk kerajaan baharu.
Sepanjang dua tahun berjuang sebelum menghadapi perang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu, pendekatan dan acuan yang dibawa Warisan ternyata telah diterima oleh rakyat Sabah.
Isu pendidikan diketengahkan dengan menjanjikan sebuah kementerian khas dalam Kabinet Sabah dan janji itu telahpun dilaksanakan dengan wujudnya Kementerian Pelajaran dan Inovasi Sabah.
Warisan turut menyentuh isu peluang pekerjaan, iaitu isu utama yang membelenggu anak muda Sabah yang ketiadaan kerja sehingga memaksa mereka meninggalkan kampung halaman untuk berkelana ke tanah Semenanjung Malaysia.

Turut dijanjikan adalah pembahagian kekayaan negeri kepada setiap kaum selain memperjuangkan semula hak-hak Sabah seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963.
Persoalannya kini, mampukah Warisan dalam tempoh lima tahun yang pendek ini mengekalkan rentak sokongan rakyat seperti pada PRU-14 lalu, ataupun parti berlogokan ‘kapal layar’ itu akan tenggelam dibadai arus politik Sabah?
Pada 2 Mac lalu, iaitu kira-kira seminggu sebelum kembali ke rahmatulah, bekas Naib Presiden UMNO, Allahyarham Tan Sri Sanusi Junid menerusi posting dalam blog peribadinya, sanusijunid.blogspot.com, secara terperinci ada memberi huraian mengenai kekuatan Shafie.

Dalam artikel yang meletakkan tajuk Warisan kalahkan UMNO di Sabah, Allahyarham mengupas akan kelemahan pemimpin UMNO Sabah yang dilihat terlalu mengikut telunjuk pemimpin kerajaan Persekutuan.
“Menteri dari Sabah yang lemah wataknya lebih mewakili kerajaan pusat untuk mengikat Sabah dan bukan Menteri yang berani mewakili Sabah dalam Kabinet Persekutuan. 
“Keadaan ini berbeza daripada keadaan pada zaman Tun Mustapha Harun menjadi menteri pusat atau Shafie menjadi ahli Kabinet,” tulisnya.
Sama ada ia satu kebetulan atau memang sudah takdir, ternyata jangkaan yang dibuat oleh Allayharham iaitu tiga bulan sebelum berlangsungnya PRU-14 telah menjadi kenyataan.
Malah, sejak Kabinet baharu dibentuk oleh Shafie, persona anak jati Semporna berusia 61 tahun daripada suku Bajau itu terus mewarnai politik Sabah.

Aura Shafie

Pensyarah Kanan Program Hubungan Antarabangsa Universiti Malaysia Sabah, Ramli Dollah berkata, memang tidak dinafikan dalam konteks negeri Sabah, faktor personaliti Shafie menjadi salah satu elemen penting yang perlu diambil kira dalam memperkatakan mengenai kejayaan Warisan.
“Ini dapat dilihat melalui kehadiran ribuan penyokong setiap kali beliau hadir memberi ucapan tidak kira di mana.
“Namun, apabila bercakap mengenai PRU-15, walaupun peranan personaliti, kredibiliti dan karisma dilihat penting dalam menarik pengundi, ia bukan satu-satunya faktor yang bakal menentukan kemenangan calon dan parti,” jelasnya.

Tambah Ramli, sebagai parti pemerintah di negeri Sabah, kejayaan pilihan raya akan datang banyak bergantung kepada bagaimana Warisan merealisasikan janji-janji yang diberikan sebelum ini.
Ditanya wajarkah Warisan dikenali sebagai sebuah parti pelbagai kaum, beliau mengakui Shafie telah berjaya membentuk sebuah pasukan yang mewakili setiap suku di Sabah.
“Dari segi keanggotaan parti, Warisan merupakan parti yang dipimpin oleh Shafie yang berketurunan Bajau dan Darell Leiking berketurunan Kadazan serta beberapa pemimpin lain seperti Datuk Jaujan Sambakong (Bajau), Junz Wong (Cina), Datuk Peter Anthony (Kadazan-Dusun-Murut) dan beberapa yang lain,” jelasnya.
Bagi Pensyarah Kanan Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan, Universiti Malaysia Sabah, Dr. Lee Kuok Tiung, beliau berpandangan bahawa adalah lebih positif sekiranya Warisan dapat membentuk kerjasama dengan PBS bagi mengukuhkan pentadbiran di Sabah.

Pandangan Kuok Tiung itu adalah berdasarkan majoriti kecil yang kini dimiliki Warisan di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) yang memungkinkan risiko berlakunya krisis politik yang tidak dijangka.
“Daripada 20 kerusi DUN bagi majoriti Kadazan-Dusun-Murut (KDM), Warisan hanya menang tiga kerusi dan selebihnya menjadi milik PBS dan rakan komponen dalam BN termasuk STAR,” jelasnya.
Bagaimanapun, beliau tetap mengakui kredibiliti Shafie yang disifatkan sebagai pemimpin yang mampu mencetuskan pembaharuan.
“Kalau dalam USNO, kita ada Tun Mustapha dan dalam PBS ada Tan Sri Pairin Kitingan sebagai Huguan Siou.
“Begitu juga dengan parti Berjaya yang sinonim dengan Tan Sri Harris Salleh dan kini, kita ada Warisan yang diterajui Shafie Apdal. Mereka semua adalah ikon kepada kekuatan parti masing-masing,” tambahnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini