KUALA LUMPUR 1 Jun – Proton Holdings Bhd. (Proton) menawarkan model sedan popular, Proton Saga pada harga terbaik dalam tempoh 10 tahun bermula kurang daripada RM30,000 kepada pelanggan-pelanggannya sempena promosi Hari Raya Aidilfitri.
Naib Presiden Jualan dan Pemasaran Proton, Abdul Rashid Musa berkata, di samping itu terdapat juga penjimatan istimewa sehingga RM4,000 untuk model Iriz dan Ertiga, serta sehingga RM3,000 untuk Persona.
Katanya, penjimatan yang ditawarkan adalah berkadar sifar cukai barang dan perkhidmatan (GST), yang mana tawaran tersebut menyerupai hampir dua kali ganda pengurangan kadar GST.
“Ini adalah masa yang terbaik untuk memiliki Proton, terutamanya dengan kadar sifar GST yang telah dikuatkuasakan.
“Pelanggan berpotensi untuk mendapat penjimatan antara 12 peratus hingga 18 peratus, bergantung kepada model kenderaan, jika penjimatan tambahan daripada GST berkadar sifar turut diambil kira,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, selain daripada promosi jualan, Proton juga menawarkan pemeriksaan 20 mata percuma di semua cawangannya di seluruh negara, bermula hari ini sehingga 15 Jun 2018.
Katanya, pemeriksaan 20 mata tersebut merangkumi operasi pedal brek dan klac, suis, lampu dan penunjuk di panel instrumen, tali pinggang keselamatan, pemeriksaan bateri, bilah pengelap cermin, minyak enjin, cecair penyejuk dan lain-lain.
“Bagi mereka yang akan melakukan perjalanan pada saat-saat akhir dan ingin melakukan pemeriksaan 20 mata ke atas kereta, mereka boleh ke Stesen Petronas terpilih yang mana pasukan perkhidmatan Proton akan berada di sana untuk melakukan pemeriksaan pantas,” katanya.
Dalam pada itu Proton turut mengumumkan RM10 daripada setiap pembelian kenderaannya akan disumbangkan kepada Tabung Harapan Malaysia.











