LIEGE, Belgium – Polis Belgium semalam menyiasat bagaimana seorang lelaki yang diawasi pihak berkuasa kerana hubungannya dengan pelampau agama, boleh melancarkan serangan keganasan dengan menembak mati dua anggota polis wanita menggunakan senjata mereka sendiri sebelum membunuh mangsa ketiga yang kebetulan berada di lokasi kejadian.
Pertumpahan darah di bandar industri Liege, timur Belgium itu berlaku sekitar pukul 10.30 pagi kelmarin apabila penyerang yang bersenjatakan pisau, berulang kali menikam dua anggota polis wanita itu sebelum mengambil senjata api mereka dan membunuh mangsa.
Pendakwa raya persekutuan berkata, pihaknya telah melancarkan siasatan keganasan berhubung insiden itu.
“Petunjuk menunjuk ke arah perbuatan pengganas,” jurucakap pendakwa raya, Eric Van Der Sypt memberitahu agensi berita AFP.
Rakaman amatur diperoleh AFP menunjukkan lelaki bersenjata itu menjerit dan berjalan di beberapa batang jalan semasa dia mengamuk.
Satu lagi klip video memaparkan bunyi tembakan senjata api kedengaran diikuti lelaki itu rebah ke tanah.
“Bersenjatakan sebilah pisau, suspek mengekori dan menyerang dua anggota polis dan merampas senjata api mereka untuk membunuh mangsa,” pendakwa raya, Philippe Dulieu berkata dalam satu sidang akhbar.
“Dia terus berjalan dan menembak mati seorang pemuda berumur 22 tahun di tempat duduk penumpang sebuah kenderaan yang diparkir.
“Penyerang berjalan lagi dan memasuki sekolah Leonie de Waha. Dia menjadikan seorang pekerja wanita sebagai tebusan. Polis campur tangan, suspek meluru keluar dan melepaskan tembakan, menyebabkan beberapa anggota polis cedera sebelum dia dibunuh,” tambahnya.
Sumber pasukan keselamatan menamakan penyerang itu sebagai Benjamin Herman dan lahir pada tahun 1982. Menurut sumber, Herman memiliki rekod jenayah kerana merompak dan mengedar dadah. Dia dipercayai menjadi radikal semasa menjalani hukuman penjara. – AFP











