BUENO AIRES – Jurulatih Argentina, Jorge Sampaoli teruja selepas gandingan Lionel Messi dan Cristian Pavon nyata menyulitkan pasukan lawan selepas mereka menang 4-0 ke atas Haiti awal pagi semalam.
Messi menjadi individu penting buat pasukan selepas berjaya meledak tiga gol dalam aksi persahabatan tersebut. Gol terakhir hadir hasil sentuhan Sergio Aguero pada minit ke-69.
Gol ketiga bintang Barcelona tersebut adalah hasil umpanan Pavon yang masuk sebagai pemain gantian untuk melakukan umpanan bagi Messi melengkapkan jaringan hatrik.
“Pavon mempunyai karakter yang baik sebagai seorang pemain dan dia sangat serasi apabila digandingkan bersama Messi.
“Dia telah menunjukkan prestasi yang sangat baik dan sentiasa membuatkan kehadirannya sangat penting apabila beraksi di atas padang,” kata Sampaoli.
Pada masa sama, Aguero juga menunjukkan aksi yang sangat positif selepas melengkapkan gol keempat apabila dibawa masuk untuk menggantikan Gonzalo Higuain.
“Aguero dan Pavon bermain dengan baik dan berjaya menyumbangkan sesuatu buat pasukan.
“Haiti tidak mempunyai banyak peluang untuk menguasai bola dalam perlawanan tersebut dan menyebabkan kami berjaya memanfaatkan setiap peluang yang terhidang di depan mata,” ujarnya. – Agensi











