KUALA TERENGGANU 9 Julai – Kepupusan sumber laut di perairan Vietnam mendorong nelayan negara itu tidak serik menceroboh perairan Malaysia meskipun terdedah dengan tindakan perundangan termasuk bot dirampas dan dilupuskan.
Lokasi tumpuan mereka ialah sekitar kawasan pelantar minyak yang dianggap lubuk ikan dan sotong daripada pelbagai spesies berkualiti bagi meraih keuntungan besar.
Terbaharu, Sabtu lalu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Terengganu menahan dua bot nelayan negara itu bersama 19 awak-awak serta dua tekong yang menceroboh perairan negeri ini.
Pengarah Maritim negeri, Kapten Maritim Rahim Ramli memberitahu, bot pertama ditahan pada pukul 7.40 malam manakala bot kedua kira-kira pukul 8.30 malam di kawasan antara 61.1 kilometer hingga 72.2 kilometer dari Kuala Terengganu.
“Dengan kes terbaharu itu, kita berjaya menahan 40 bot dengan jumlah rampasan bernilai RM50.5 juta sejak Januari lalu,” ujarnya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut Rahim, hasil pemeriksaan mendapati kesemua 21 tekong dan awak-awak ditahan itu tidak memiliki dokumen pengenalan diri dan permit kerja yang sah.
Katanya, kedua-dua bot ditahan ketika sedang menangkap ikan dalam Ops Perkasa Timur dan Ops Marikh yang dijalankan secara kerap terutama di kawasan berdekatan pelantar minyak.
“Mereka meraih keuntungan besar. Inilah yang menarik minat dan tidak pernah serik menceroboh. Jadi, kita menjalankan rondaan secara kerap,” katanya.
Menurutnya, selain dua bot, 4.5 tan hasil laut, 10,000 liter diesel dan peralatan menangkap ikan turut dirampas yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM2.4 juta.
“Kita akan terus mempertingkatkan pemantauan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi menjaga perairan negara daripada terus diceroboh,” katanya.











