IPOH – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) tidak bercadang untuk menghantar pasukan penyelamatnya bagi membantu misi menyelamat sekumpulan pelajar lelaki dari pasukan bola sepak yang terperangkap dalam gua yang dilanda banjir di Chiang Rai, bahagian utara Thailand.
Ketua Pengarah JBPM, Mohammad Hamdan Wahid berkata, bagaimanapun pihaknya sedia memberi khidmat bantuan berbentuk nasihat berkaitan penyelaman jika diperlukan.
“Kita (JBPM) setakat ini tidak ada dipohon bantuan kerana saya percaya mereka (Kerajaan Thailand) ada keupayaan mereka sendiri serta bantuan yang sudah diterima namun kita boleh memberi nasihat dari segi penyelaman.
“Kita juga tidak tahu karakter dan juga ‘topography terrace’ gua tersebut, jadi amatlah mustahil untuk kita terlibat secara langsung kerana saya lihat komplikasi amat tinggi dan difahamkan kawasan tersebut hanya orang tempatan sahaja tahu.
“Kita khuatir jika kita hantar pegawai…mereka tidak tahu bentuk gua itu dan ia akan mendatangkan kemudaratan,” katanya. – Bernama











