[VIDEO] Sindiket edar syabu RM15.3 juta tumpas - Utusan Malaysia

[VIDEO] Sindiket edar syabu RM15.3 juta tumpas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PULAU PINANG 8 Julai – Satu lagi sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah membabitkan nilai puluhan juta ringgit yang menjadikan negeri ini sebagai pusat transit berjaya dilumpuhkan polis.


Video oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL

Kejayaan itu hasil risikan polis negeri ini serta Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman yang berjaya merampas seba­nyak 306 kilogram sya­bu bernilai RM15.3 juta kelmarin.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, dadah itu dirampas dalam empat serbuan di negeri ini dan Kedah dalam operasi bermula pukul 2 petang hingga 9 malam kelmarin.

Ujarnya, dalam operasi itu juga, pihaknya turut menahan enam individu iaitu lima lelaki tempatan berusia antara 19 hingga 37 tahun serta seorang perempuan tempatan berusia 30 tahun.

Ujar beliau, dalam serbuan pertama di Jelutong di sini, pihaknya menahan dua lelaki tempatan berusia 28 dan 37 tahun yang kemudiannya membawa kepada penahanan tiga lagi lelaki tempatan berusia 19 hingga 30 tahun di Kuala Nerang, Kedah.

“Dalam serbuan seterusnya di Kuala Nerang, Kedah juga, kita menangkap seorang wanita tempatan berusia 30 tahun yang merupakan isteri salah seorang suspek.

“Serbuan keempat pula dibuat di tempat letak kereta Taman Pe­langi Indah, Jelutong di sini iaitu lokasi kita menjumpai dadah yang disimpan sindiket tersebut,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini hari ini.

Ujar Mohmad, kesemua dadah berbentuk ketulan kristal itu dibungkus di dalam sebanyak 295 bungkusan teh Cina dan disimpan di dalam 15 karung guni.

Selain dadah itu, tambah beliau, pihaknya turut me­rampas wang tunai berjumlah RM16,000 dan menyita sebuah kereta Proton Waja dan seutas jam tangan mewah.

“Tiga suspek kes ini direman selama seminggu sehingga Jumaat ini manakala tiga lagi direman selama dua minggu dan siasatan dibuat mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya percaya dadah tersebut diperoleh dari negara jiran dan diproses untuk pasaran tempatan dan sekitar negeri-negeri utara.

Ditanya mengapa negeri ini terus menjadi sasaran sindiket sebagai pusat operasi pengedaran dadah, Mohmad berkata, pihaknya percaya perkara itu disebabkan lokasi negeri ini yang strategik dan mudah dimasuki terutama menerusi jalan laut.

Selain itu, ujarnya, kerancakan pembangunan dan kepesatan ekonomi di negeri ini menyebabkan sindiket dadah tersebut beranggapan kegiatan dan pergerakan mereka sukar dikesan pihak berkuasa.

-habis-

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×