Korea Utara masih bangunkan senjata nuklear - Utusan Malaysia

Korea Utara masih bangunkan senjata nuklear

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON 30 Jun – Agensi perisikan Amerika Syarikat (AS) percaya Korea Utara meningkatkan pengeluaran uranium untuk membangunkan senjata nuklear di beberapa lokasi rahsia dalam tempoh beberapa bulan lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pyongyang didakwa mungkin menyembunyikan perkara tersebut ketika berlangsung sidang kemuncak antara Presiden AS, Donald Trump dengan pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un di Singapura pada 12 Jun lalu.

Perkara itu didedahkan oleh ste­sen penyiaran NBC yang memetik sumber daripada lima pegawai kerajaan AS dan laporan berhubung program senjata nuklear Korea Utara.

Berdasarkan laporan tersebut, agensi perisikan negara ini menyimpulkan bahawa Korea Utara sebenarnya mempunyai lebih daripada satu tapak nuklear rahsia selain mempunyai kemudahan pusat penghasilan uranium di Yongbyon.

“Ini merupakan bukti jelas me­nunjukkan Korea Utara cuba me­nipu dengan AS,” lapor NBC yang memetik seorang daripada lima pegawai kerajaan negara ini.

Agensi Perisikan Pusat (CIA) setakat ini enggan mengulas berhubung laporan NBC dan Jabatan Negara AS memaklumkan bahawa pihaknya tidak dapat mengesahkan dan tidak boleh memberikan komen tentang perkara berkaitan perisikan.

White House juga tidak memberi sebarang reaksi berhubung laporan berkenaan.

Laporan NBC itu secara tidak langsung menimbulkan lebih ba­nyak persoalan tentang kesediaan Korea Utara untuk mengadakan rundingan serius bagi menamatkan program senjata nuklear yang dilihat boleh mengancam keselamatan AS.

Seorang pegawai kanan perisikan AS berkata. keputusan yang dibuat Pyongyang sebelum ini untuk menghentikan program senjata nuklear di Semenanjung Korea adalah tidak dijangkakan tetapi kesediaan kedua-dua pihak untuk berunding dilihat sebagai langkah positif.

Bagaimanapun, beliau menam­bah:”Apa yang dilakukan itu adalah bertujuan untuk menipu kita tentang bilangan kemudahan yang ada, bilangan senjata, peluru berpandu…Kami memerha­tinya dengan teliti.”– REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN