MELAKA – Datuk Seri Idris Haron gagal mempertahankan jawatan Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu selepas tewas kepada pencabarnya, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad pada pemilihan parti itu hari ini.
Idris yang merupakan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri memperoleh 151 undi manakala Mohamad Ali mendapat 353 undi.
Mohamad Ali merupakan Ahli Jawatankuasa bahagian berkenaan pada penggal lalu.
Datuk Abu Bakar Mohamad Diah pula mempertahankan jawatan sebagai Timbalan Ketua UMNO bahagian selepas menang dengan majoriti 169 undi menewaskan Nor Azman Hassan.
Jawatan Naib Ketua UMNO bahagian kekal disandang oleh Sazali Muhd. Din.
Mohamad Ali ketika ditemui berkata, keputusan pemilihan hari ini membuktikan bahawa ahli-ahli parti di peringkat akar umbi inginkan perubahan kepimpinan di peringkat bahagian.
“Untuk menyuburkan UMNO, saya akan menggunakan pendekatan seluruh ahli jawatankuasa akan bersama-sama turun padang untuk melihat bagaimana hendak memenangi hati pengundi,” katanya pada sidang akhbar selepas pengumuman bahagian Tangga Batu di Bandar Hilir di sini. – K! ONLINE











