PETALING JAYA 30 Jun – Pelakon drama bersiri Cinta Fatamorgana, Saharul Ridzwan, 29, mengakui keselesaan hidupnya hari ini masih belum sempurna meskipun ada pihak yang menyifatkan dia seorang aktor berjaya.
A post shared by SR (@saharulridzwan) on
Menerusi entri yang dimuat naik di laman Instagram miliknya, selagi amal ibadahnya tunggang-langgang di mata Allah, Saharul berpendapat dirinya serba kekurangan dan belum sempurna.
“Kejayaan seorang individu tidak dinilai berdasarkan harta kekayaan, sebaliknya menerusi amal ibadah untuk dihisab di akhirat kelak.
“Solat saya masih belum cukup lima waktu, bacaan ayat suci al-Quran masih salah, keyakinan terhadap rezeki kurniaan Allah masih belum utuh, malah begitu lemah dalam mengharungi dugaan-Nya.
“Itu sahaja menunjukkan saya masih belum berjaya,” ujar Saharul memetik kapsyen yang dimuat naik bersama sekeping foto di media sosialnya.
Dalam foto tersebut, Saharul berdiri tegak merenung kereta pertama miliknya jenama Perodua Viva yang disifatkan banyak menabur jasa dalam melalui liku bergelar anak seni.
Sementara kenderaan di belakangnya adalah sebuah kereta mewah jenama Mercedes Benz, hasil kerja kerasnya membanting tulang selama enam tahun bergelar pelakon dan mula meniti populariti menerusi drama Kau Aku Kita bergandingan dengan Janna Nick.
“Viva ini saya beli menggunakan duit pinjaman Mara untuk bayar cengkeram. Selepas tamat pengajian dengan keputusan cemerlang, pinjaman tersebut bertukar menjadi biasiswa.
“Kereta ini penuh dengan nilai sentimental, mengingatkan saya betapa susahnya mendaki sebuah kejayaan sehinggalah saya mampu pakai kereta Mercedes Benz.
“Namun, berjayakah aku?” persoalnya dalam entri tersebut.
Saharul juga tidak lupa menghargai jasa pemilik syarikat produksi JS Pictures Sdn. Bhd., iaitu Jinggo dan Sheila Rusly yang banyak membantunya berada pada tahap hari ini. – UTUSAN ONLINE











