ALOR SETAR 30 Jun – Kenyataan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang menyatakan Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail akan berundur dari jawatan Timbalan Perdana Menteri sebaik saja suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik menjadi Perdana Menteri bukanlah sesuatu yang perlu dijadikan isu.
Wan Azizah berkata, tindakan tersebut memang sudah difikirkan sejak dari awal lagi.
“Takkanlah ada situasi di mana suami menjadi Perdana Menteri dan isterinya pula Timbalan Perdana Menteri. Dah tentu saya akan mengundur diri dan itu memang niat saya sejak dari mula.
“Itu bukan satu isu kerana suami saya sebelum ini tidak boleh bertanding kerana telah dizalimi. Kini beliau telah diampunkan dan boleh ambil bahagian dalam politik namun kami tetap mengikut janji bahawa Perdana Menteri ketika ini adalah Tun Dr. Mahathir Mohamad,” katanya.
Mengenai kemungkinan proses itu akan dipercepatkan, Wan Azizah berkata, tiada keperluan untuk membincangkan mengenai kemungkinan sedemikian.
“Kenapa nak ada kemungkinan begitu? Kita hanya nak ‘siapkan’ mandat diberi rakyat kepada kerajaan baharu yang peduli nasib rakyat. Itu yang penting kerana kalau hendakkan jawatan, suami saya tidaklah masuk penjara sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menelusuri Sungai Kedah dengan menggunakan bot bagi meninjau sendiri perkembangan projek Rancangan Tebatan Banjir di sungai itu yang dijangka siap dalam tempoh 18 bulan lagi.
Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir serta beberapa Exco antaranya Pengerusi Jawatankuasa Sains, Inovasi dan Teknologi Maklumat, Kerja Raya, Bekalan dan Sumber Air serta Tenaga, Ir. Zamri Yusuf serta Pengerusi Jawatankuasa Kewangan, Syarikat Milik Kerajaan Negeri, Industri dan Pelaburan serta Agama, Datuk Ir. Amiruddin Hamzah.
Dalam temu bual bersama Assosicate Press (AP) baru-baru ini, Guan Eng dipetik sebagai berkata, Wan Azizah akan melepaskan jawatan tersebut dengan Pakatan Harapan sehingga kini masih belum memutuskan siapa bakal Timbalan Perdana Menteri baharu.
Sementara itu Wan Azizah turut menafikan dakwaan yang menyatakan kerajaan melakukan pembulian mahu pun mempunyai niat tertentu berhubung isu pembekuan akaun UMNO oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini.
Tegas Wan Azizah, tindakan tersebut diambil bersandarkan undang-undang yang selari dengan proses SPRM dalam menjalankan siasatan.
“Ini undang-undang yang merupakan prosedur operasi standard (SOP) SPRM, jadi kena ikutlah.
“Kalau tak ada apa-apa, mungkin tidak akan dibekukan nanti. Kalau ada apa-apa sampai jumpa berjuta-juta, kena siasatlah,” katanya. – UTUSAN ONLINE











