KUALA TERENGGANU 30 Jun – UMNO Bahagian Marang hari ini menggesa pemimpin Melayu khususnya UMNO agar tidak berterusan apologetik dalam mempertahankan hak istimewa orang Melayu yang semakin terus dicabar ketika kuasa semakin terhakis.
Mereka tidak harus merasa bersalah dengan tuduhan sebagai rasis sehingga tidak mampu bertegas apabila berhadapan dengan isu-isu berkaitan yang semakin lantang kedengaran.
Gesaan itu adalah antara 17 usul dikemukakan dalam Mesyuarat Perwakilan UMNO bahagian tersebut yang diadakan, di sini hari ini yang disempurnakan perasmiannya oleh Ketua UMNO bahagian, A. Latiff Awang.
Selain itu, UMNO bahagian tersebut turut menggesa kerajaan Pakatan Harapan menunaikan segera segala janjinya yang dikatakan mudah dilaksanakan sebelum ini termasuk menurunkan harga bahan api agar tidak membebankan rakyat.
Turut diluluskan sebulat suara ialah usul mengecam tindakan kerajaan Pakatan harapan yang yang dianggap bertindak keterlaluan dalam permainan politiknya dengan mengumpulkan derma dari rakyat.
Menurut usul itu, belum pernah ada ada mana-mana kerajaan di dunia yang meminta derma daripada rakyat untuk menguruskan negara.
Lain-lain usul termasuklah gesaan agar memastikan institusi keramat Melayu seperti Universiti Teknologi Mara (UiTM) tidak dibuka kepada bukan Melayu kerana menyimpang daripada teras penubuhannya. – UTUSAN ONLINE











