SANDAKAN 30 Jun – Bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman tidak mempertahankan jawatan sebagai Ketua UMNO Bahagian Libaran dalam Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Libaran yang diadakan di Dewan SErbagunan Sri Libaran, hari ini.
![]() |
|
JUSLIE AJIROL
|
Dalam pemilihan peringkat bahagian kali ini, bekas ahli Parlimen Libaran, Datuk Juslie Ajirol diumumkan sebagai Ketua UMNO Bahagian Libaran yang baharu menggantikan Musa setelah pencabarnya, Datuk Akhbar Khan Abdul Rahman menarik diri daripada bertanding.
Bagi jawatan Timbalan Ketua pula dimenangi oleh Suhaimi Nasir yang turut menang tanpa bertanding manakala kerusi Ketua Wanita UMNO Bahagian Libaran dimenangi oleh Ramsah Taha; Ketua Puteri, Nur Sabrina Sukardi dan Ketua Pemuda, Rizan Aziz.
Terdahulu, Juslie berkata, senario pilihan raya umum lalu yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) tewas kepada gabungan Pakatan Harapan (PH) memerlukan tindakan segera buat UMNO menyemak semula kesilapan parti menjadi punca kekalahan.
Beliau menegaskan, ahli UMNO juga wajar mengkaji semula diri dan mencari kaedah untuk memastikan bahawa parti itu masih dan kekal relevan untuk rakyat.
“Beberapa faktor yang menyebabkan kerugian (UMNO) ialah ketidakupayaan ahlinya untuk mempercayai antara satu sama lain serta berlaku pertelingkahan dalaman di kalangan ahli parti itu sendiri.
“Saya ingin mengingatkan bahawa kita telah mengalami kehilangan parti semasa era Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), justeru kita mesti belajar daripada pengalaman ini,” katanya dalam ucapan perasmian Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Libaran. – UTUSAN ONLINE












