KUALA LUMPUR 30 Jun – Seorang wakil rakyat Pakatan Harapan daripada DAP mengingatkan kerajaan bahawa hukuman mati mandatori sewajarnya dimansuhkan berasaskan kepada prinsip.
![]() |
|
RAMKARPAL SINGH
|
Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh menegaskan, keputusan mahu memansuhkan hukuman itu tidak sepatutnya semata-mata untuk tujuan membawa pulang Sirul Azhar Umar yang telah disabitkan bersalah membunuh warga Mongolio, Altantuya Shaaribu dan ketika ini ditahan di Australia.
“Sudah tentu sekiranya hukuman mati mandatori dimansuhkan, Sirul Azhar akan diekstradisi memandangkan tiada alasan untuk Australia menahannya lagi.
“Perlu ditegaskan bahawa hukuman mati mandatori perlu dimansuhkan atas dasar prinsip dan bukannya untuk memudahkan urusan membawa pulang Sirul. Banyak kajian telah menunjukkan bahawa hukuman itu sebagai langkah pencegahan tidak efektif,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook beliau, hari ini.
Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail memberitahu kerajaan akan menilai semula keperluan untuk meminda undang-undang berkaitan hukuman mati mandatori yang dilaksanakan di negara ini.
Beliau berkata, pindaan itu juga perlu dipertimbangkan sekiranya Sirul Azhar yang disabitkan bersalah membunuh Altantuya pada tahun 2006 ingin pulang ke negara ini bagi menjadi saksi kes tersebut. – UTUSAN ONLINE












