TAIPING – Seorang lelaki ditahan polis hari ini selepas disyaki terlibat dalam kes menyamun dan mencuri sebuah basikal milik seorang wanita warga emas sehingga menyebabkan mangsa meninggal dunia di Jalan Walker, Pokok Assam di sini Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Taib berkata, pihaknya berjaya mengesan dan menahan suspek berusia 34 tahun itu di Klinik Kesihatan Tupai di sini pada pukul 10 pagi.
“Hasil soal siasat yang dilakukan terhadapnya, suspek mengaku terlibat dalam kejadian tersebut dan basikal tersebut masih disimpan suspek di rumahnya.
“Motif suspek melakukan perbuatan tersebut disebabkan dia tertarik dengan basikal yang ditunggang mangsa,” katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi.
Tambahnya, siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Dalam kejadian kira-kira pada pukul 4.00 petang Selasa lalu, suspek telah menarik basikal yang ditunggang mangsa sehingga menyebabkan dia terjatuh di atas jalan raya sebelum dia bertindak melarikan diri.
Mangsa yang cedera kemudiannya dibawa ke Hospital Taiping namun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan. – K! ONLINE











