Noh mahu lepaskan jawatan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor - Utusan Malaysia

Noh mahu lepaskan jawatan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANJONG KARANG –  Tan Sri Noh Omar hari ini mengumumkan mahu melepaskan jawatan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang memegang jawatan tersebut sejak 2013.

Katanya, keputusan tersebut dibuat sebagai mengambil tanggungjawab atas kekalahan teruk UMNO Selangor pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Saya akan maklum perkara ini (pelepasan jawatan) selepas selesai pelantikan Presiden UMNO baharu selesai. 

“Berilah peluang kepada muka baharu pula memimpin UMNO Selangor yang mungkin akan ada pendekatan (membangunkan parti) dengan lebih baik. Saya akan terus jaga Tanjong Karang,”katanya ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tanjong Karang di sini hari ini.

Tambah Noh, keputusannya itu adalah muktamad dan tidak akan menerima pelawaan mana-mana pihak lagi supaya beliau terus menerajui UMNO Selangor.

Bagaimanapun beliau berkata, beliau akan terus memainkan peranan dan membantu UMNO jika sekali lagi diberi mandat sebagai Anggota Majlis Tertinggi UMNO.

 Pada pemilihan kali ini, Noh menang tanpa bertanding Ketua UMNO Bahagian Tanjong Karang manakala Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Datuk Sulaiman Abd Razak menang jawatan timbalan.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai pembekuan akaun UMNO Selangor oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana didakwa berkaitan dengan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Noh berkata beliau tidak tahu menahu mengenai punca perkara itu berlaku.

“Saya tak tahu apa punca pembekuan. Kalau dikaitkan dengan isu 1MDB, setahu saya ia terjadi pada 2013 yang ketika itu saya hanyalah Timbalan Pengerusi UMNO Selangor maka saya tak tahu tentangnya,” katanya. – K! ONLINE
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN