PADANG TERAP 30 Jun – Datuk Seri Mahdzir Khalid diisytihar kekal menyandang jawatan Ketua UMNO Bahagian Padang Terap di sini hari ini.
Beliau yang merupakan penyandang jawatan berkenaan menang tanpa bertanding selepas tidak dicabar mana-mana perwakilan.
Yang turut mengikut jejak langkah beliau ialah Timbalan Ketua UMNO Bahagian Padang Terap, Datuk Seri Ghazali Ibrahim selepas pencabarnya, Abdul Hamid Ahmad menarik diri.
Sementara itu, jawatan Naib Ketua, Pengerusi Tetap serta Timbalan Pengerusi Tetap UMNO Bahagian Padang Terap masing-masing menyaksikan pertandingan dua penjuru.
Menurut Mahdzir, pihaknya menyifatkan pertandingan dalam UMNO Bahagian Padang Terap berlangsung dalam keadaan baik umpama pemilihan keluarga.
“Walaupun ada pemilihan di peringkat Naib Ketua dan ahli jawatankuasa bahagian tetapi sepanjang kempen berlangsung, berjalan dalam suasana yang baik,” katanya di sini hari ini.
Dalam pada itu, Mahdzir ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Padang Terap menggesa semua ahli parti supaya merapatkan dan mengukuhkan ukhwah di peringkat akar umbi dan kepimpinan bahagian bagi menghadapi cabaran politik pada masa kini.
“Semangat ahli di peringkat akar umbi sangat positif kerana masih ramai hadir (Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Padang Terap) meskipun dalam suasana parti yang kalah pada pilihan raya umum lalu,”ujarnya. – UTUSAN ONLINE











