JELI 30 Jun – Semua calon dan penyokong masing-masing, sama ada pihak yang menang atau tewas dalam pemilihan UMNO hari ini diseru supaya berjiwa besar bagi memastikan perjuangan parti dalam membela Melayu dan agama Islam dapat diteruskan.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamad berkata, pihak yang menang tidak boleh mengetepikan pihak yang tewas begitu sahaja, manakala pihak yang tewas tidak wajar lari dari perjuangan hanya kerana tidak terpilih.
Beliau yang juga calon Ahli Majlis Tertinggi (MT) menegaskan, dengan situasi parti dalam keadaan lemah sekarang, saf perpaduan perlu dirapatkan bagi membolehkan UMNO bangkit dan mampu menjadi parti yang berpengaruh semula.
“Kalau kalah, sekurang-kurangnya kita sudah cuba. Kali ini calon ramai, sedangkan jawatan tak banyak. Tapi bagi saya, yang kalah tidak patut kita ketepikan kerana masing-masing ada kelebihan. Yang menang patut berjiwa besar.
“Tapi tak cukup yang menang sahaja perlu berjiwa besar. Yang kalah pun perlu berjiwa besar. Janganlah sampai mahu tinggalkan parti atau masuk parti baharu,” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Jeli, di sini hari ini.
Pemilihan kali ini menyaksikan Mustapa menang tanpa bertanding bagi jawatan Ketua UMNO Bahagian Jeli.
Turut menang tanpa bertanding ialah Timbalan Ketua UMNO Bahagian Jeli, Datuk Abdul Aziz Derashid.
Sementara itu, jawatan Naib Ketua UMNO Bahagian pula melibatkan pertembungan satu lawan satu antara penyandang Mohd. Bakri Daud dengan muka baharu, Mohd. Zahari Kechik. – UTUSAN ONLINE











