MUAR 30 Jun – Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Muar berjaya memintas sebuah bot yang dipercayai membawa sembilan pendatang asing tanpa izin (PATI) di kuala Sungai Batu Pahat, dekat sini malam tadi.
Pegawai Pemerintah PPM Wilayah Dua Muar, Deputi Superintenden Nordin Osman berkata, anggota PPM yang melakukan Op Gelora di kawasan berhampiran menahan bot tersebut yang sedang menuju masuk ke Jeti Syahbandar Batu Pahat.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati enam lelaki dan tiga wanita warga Indonesia berusia antara 28 hingga 55 tahun sedang bersembunyi di bawah timbunan kayu bakau yang dibawa bot tersebut.
“Turut ditahan dalam kejadian kira-kira pukul 9 malam itu ialah seorang tekong dan dua awak-awak yang dipercayai bersubahat menyeludup masuk kesemua PATI berkenaan.
“Soal siasat awal mendapati kesemua tangkapan dalam perjalanan masuk ke Malaysia dari Selat Panjang, Indonesia,” katanya ketika dihubungi, di sini sebentar tadi.
Nordin berkata, sembilan PATI berkenaan kini ditahan di lokap Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Tekong dan dua awak-awak berkenaan yang juga warga asing disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.
Pihaknya turut merampas bot tersebut yang dianggarkan bernilai RM50,000. – UTUSAN ONLINE











