Myanmar tercorot indeks AS - Utusan Malaysia

Myanmar tercorot indeks AS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NAYPYIDAW – Myanmar tidak melakukan usaha mencukupi untuk menangani jenayah pemerdaga­ngan manusia, demikian me­nurut laporan Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) yang meletakkan Naypyidaw pada barisan tercorot senarainya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Laporan tahunan tersebut yang dikenali sebagai Traffic­king in Persons (TIP) menyatakan, kedudukan Myanmar jatuh ke Tahap 3 indeks TIP kerana gagal melindungi orang Islam Rohingnya yang melarikan diri daripada operasi tentera di Negeri Rakhine.

Lebih 700,000 etnik Rohingya melarikan diri daripada tindakan balas tentera Myanmar susulan serangan pemberontak Rohingya ke atas sebilangan pos polis di Rakhine pada Ogos 2017.

Pertubuhan Negara-negara Bersatu (PBB) dan AS mengatakan bahawa kekerasan itu menjurus kepada ‘penghapusan etnik’.

Sebahagian besar etnik Ro­hingya kini tinggal di kem-kem pelarian yang luas di negara jiran, Bangladesh.

Ramai wanita dan kanak-kanak Rohingya pula menjadi mangsa pemerdagangan manusia, kata laporan itu.

“Etnik Rohingya menjadi mangsa eksploitasi atau dihantar ke negara lain untuk tujuan pelacuran rentetan daripada perpindahan mereka,” kata laporan tersebut.

Menurutnya, terdapat kanak-kanak Rohingya diculik dan dijual untuk tujuan perkahwinan paksa di India, Indonesia dan Malaysia.

“Kerajaan Burma (Myanmar) tidak memenuhi standard minimum dalam membanteras jenayah pemerdagangan manusia dan tidak melakukan usaha signifikan ke arah itu,” demikian menurut TIP.

Laporan TIP menyenaraikan 187 negara berdasarkan indeks tiga lapisan atau tahap. Kedudukan Tahap 3 boleh membawa kepada sekatan bukan perdagangan oleh Wa­shington.

Myanmar menyertai China, Rusia, Laos, Sudan Selatan dan Korea Utara untuk berada di kedudukan Tahap 3 sekali gus tercorot dalam laporan TIP pada tahun ini. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN