Segera gubal Undang-Undang Antilompat Parti - Utusan Malaysia

Segera gubal Undang-Undang Antilompat Parti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 29 Jun – Perkara 10 (1) Perlembagaan Persekutuan yang menggariskan hak berpersa­tuan perlu dipinda bagi memboleh­kan Undang-Undang Antilompat Parti diwujudkan segera kerana ia melibatkan amanah yang diberikan rakyat selain moral wakil rak­yat tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

Penganalisis Politik dan Pengamal Undang-Undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr. Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, langkah tersebut perlu dilakukan kerana Kelantan pernah mencadangkan pelaksanaan undang-undang tersebut pada 1992, tetapi ditolak oleh mahkamah kerana bertentangan dengan peruntukan ‘semua warganegara berhak untuk membentuk persatuan’.

“Apabila individu itu bertan­ding dalam mana-mana pilihan raya sebenarnya dia terikat secara moral terhadap parti itu dan semestinya beliau perlu taat kepada parti yang diikutinya namun selepas menang dan bertindak lompat parti lain, itu dianggap sebagai mencemari amanah yang diberikan.

“Jadi, cadangan supaya undang-undang itu dilaksanakan amat bertepatan dengan situasi politik hari ini kerana rakyat merupakan mangsa yang paling terkesan akibat perbuatan lompat parti,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, beberapa pemimpin Pas dan Barisan Nasional (BN) menggesa kerajaan supaya menggubal Undang-Undang Antilompat Parti bagi memastikan ahli-ahli politik tidak mengkhianati kepercayaan para pengundi.

Sementara itu, Pensyarah Ka­nan Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Muzaffar Syah Mallow berkata, banyak implikasi besar kepada ketidakstabilan politik serta keamanan dalam sesebuah negara jika Undang-Undang Antilompat Parti tidak diwujudkan segera di negara ini.

Jelas beliau, kebanyakan negara telah mensyaratkan mana-mana wakil rakyat yang mahu bertukar parti boleh berbuat demikian hanya selepas mereka mengembalikan jawatan dan menyerahkan semula mandat kepada rakyat untuk memilih sekali lagi.

“Amalan ini sama sekali tidak menjadi halangan dalam hak memilih persatuan dan boleh dipertimbangkan Mahkamah Persekutuan dalam membuat interpretasi baharu yang sesuai dengan kea­daan dan perubahan semasa.

“Dalam masa sama, ia bertu­juan memastikan kestabilan politik jangka panjang ekoran isu lompat parti yang tidak berkesudahan di negara ini terutama sejak Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12) pada tahun 2008,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, penganalisis politik di Universiti Malaya (UM), Prof. Dr. Ahmad Atory Hussain berkata, sepatutnya tidak timbul sebarang masalah sekiranya kerajaan Pakatan Harapan ingin mewujudkan undang-undang tersebut kerana perkara itu pernah dituntut oleh pemimpin-pemimpin mereka suatu ketika dahulu.

Kata beliau, lebih-lebih lagi terdapat beberapa parti telah mengambil inisiatif membuat peraturan yang bersifat sama bagi memastikan kesetiaan wakil rak­yat selain mengikat mereka daripada lompat parti.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN