KAZAN – Ayam tambatan Perancis, Antoine Griezmann berikrar untuk kembali mendapatkan rentak permainan sebenar pada aksi pusingan kalah mati Piala Dunia 2018 selepas wujud khabar angin yang mendakwa dia akan digugurkan bagi perlawanan menentang Argentina di Arena Kazan malam ini.
Penyerang Atletico Madrid itu mengharapkan peluang kedua buat dirinya dalam skuad utama Les bleus kerana yakin sejarah yang berlaku pada dirinya ketika kejohanan Euro 2016 akan berulang kembali.
“Pada kejohanan Euro 2016, saya kembali mendapat sentuhan terbaik apabila Perancis mara ke peringkat kalah mati. Saya yakin perkara sama akan berulang selepas ini.
“Fokus saya di depan gol kembali pada tahap terbaik sebaik sahaja Perancis melepasi saingan peringkat kumpulan,” jelasnya.
Sebagai rekod, pemain berusia 27 tahun itu dikatakan tidak serasi untuk digandingkan dengan dua penyerang berbisa, Kylian Mbappe dan Ousmane Dembele kerana dia gagal meledakkan sebarang gol dalam tiga aksi terdahulu.
Sebaliknya, pemain berpengalaman, Olivier Giroud pula dilihat sebagai penyerang yang lebih serasi untuk digandingkan bersama Mbappe dan Dembele.
Dalam pada itu, pemain tengah Perancis, Paul Pogba yakin Griezmann akan mula menjadi tumpuan sebaik pusingan kalah mati membuka tirainya malam ini.
“Jangan kritik Griezmann terlalu awal. Adakah anda semua sudah lupa impaknya bersama Perancis pada saingan Euro 2016?
“Bagi saya, walaupun dia tidak menjaringkan gol, dia masih Griezmann yang sama iaitu antara penyerang terbaik dunia.
“Saya yakin Griezmann akan menutup mulut semua pengkritiknya pada aksi kalah mati nanti,” jelas Pogba. – Agensi











