SKUAD kebangsaan memiliki peluang untuk kembali berkampung di China bagi menjalani latihan sebagai persediaan ke Sukan Asia Indonesia sekiranya mereka mampu menjamin langkah itu mampu meningkatkan prestasi.
Ketua Kontinjen negara, Datuk Seri Abdul Azim Mohd. Zabidi berkata, pihaknya belum menolak sepenuhnya permintaan barisan kejurulatihan terjun untuk membawa pulang skuad kebangsaan ke rumah kedua mereka.
Katanya, pelbagai aspek akan dikaji semula bagi memberikan barisan prospek pingat negara tersebut platform terbaik untuk melakukan persediaan sebelum menghadapi temasya empat tahun sekali itu.
“Sebenarnya saya tidak tolak permintaan mereka untuk kembali ke kem di China 100 peratus dan ia masih dipertimbangkan. Adakah perbezaan ketara akan berlaku sekiranya mereka berlatih di China berbanding di sini?
“Jika tiada, lebih baik mereka berlatih di sini (Bukit Jalil). Namun, kalau ada jaminan berlatih di China boleh bantu tingkatkan prestasi penerjun sekali gus sumbang lebih pingat, kita akan pertimbangkan.
“Kami hanya mahukan yang terbaik buat atlet-atlet negara dari pelbagai aspek sebelum mereka menyahut cabaran negara pada Ogos depan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan skuad terjun negara di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur semalam.
Terdahulu, pemangku ketua jurulatih terjun negara, Zhang Yukun berharap dapat membawa pulang atlet-atlet kebangsaan ke negara tembok besar itu agar mereka dapat memberikan tumpuan sepenuhnya pada persediaan ke Sukan Asia.
“Berlatih di sini (Malaysia) sebenarnya menjejaskan tumpuan atlet. Sesetengah atlet yang masih belajar akan perlu membahagikan masa mereka dengan pembelajaran terutama yang bakal mengambil peperiksaan besar,” ujarnya.











