SHAH ALAM – Kerajaan Negeri Selangor membuat rombakan kecil dalam pentadbirannya membabitkan portfolio empat ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) termasuk Menteri Besar, Amirudin Shari.
Amirudin yang mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor pada 19 Jun lalu memegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kewangan, Pembangunan Tanah dan Pengurusan Sumber Alam dan Komunikasi Strategik termasuk Pembangunan Generasi Muda dan Sukan.
Beliau yang mengambil alih kepimpinan negeri daripada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebelum ini merupakan Exco yang memegang portfolio Pembangunan Generasi Muda dan Sukan.
Amirudin ketika ditemui pada Majlis Jamuan Hari Raya Kumpulan Sirim di sini hari ini berkata, selain dirinya, mesyuarat Exco kali pertama Rabu lalu turut membuat perubahan pada tiga portfolio Exco iaitu Rodziah Ismail, Prof. Dr. Shaharuddin Badaruddin serta Hee Loy Sian.
“Tidak banyak, hanya melibatkan pertukaran portfolio di antara saya dengan Rodiah dan Shaharuddin dengan Loy Sian. Itu sahaja dan yang lain-lain kekal kerana mereka baharu sahaja mengangkat sumpah.
“Pada saya, bagi mereka masa dan ruang supaya dapat laksanakan kerja masing-masing,” katanya.
Terdahulu, Pejabat Menteri Besar Selangor menerusi satu kenyataan akhbar memaklumkan, rombakan kecil tersebut diputuskan selepas Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN) pada Rabu lalu.
Menerusi kenyataan sama juga, Pejabat Menteri Besar memberitahu, Amirudin tidak pernah melantik mana-mana individu atau syarikat bagi mewakili beliau dalam apa jua rundingan atau perjumpaan.
“Segala bentuk perjumpaan atau cadangan boleh disalurkan menerusi Pejabat Menteri Besar Selangor atau Sekretariat Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN),” jelasnya.
Berikut adalah senarai Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor dan portfolio mereka yang terbaru.
1. Amirudin Shari, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kewangan, Pembangunan Tanah dan Pengurusan Sumber Alam, Pembangunan Generasi Muda & Sukan serta Komunikasi Strategik
2. Datuk Teng Chang Kim, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan Industri Kecil dan Sederhana
3. V. Ganabatirau, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan dan Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin
4. Izham Hashim, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani
5. Datuk Abdul Rashid Asari, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan
6. Prof. Dr. Shaharuddin Badaruddin, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Pendidikan, Pembangunan Modal Insan
7. Ng Sze Han, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awan dan Pembangunan Kampung Baru
8. Haniza Mohamed Talha, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan dan Kehidupan Bandar
9. Dr. Siti Mariah Mahmud sebagai Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga
10. Tuan Hee Loy Sian, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Sains, Teknologi dan Inovasi
11. Rodziah Ismail, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Usahawan serta Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi – K! ONLINE











