JAKARTA 29 Jun – Malaysia dan Indonesia sepakat untuk meningkatkan hubungan dua hala bagi memastikan kedua-dua negara terus mengecapi manfaat bersama.
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, keakraban dua negara jiran itu akan diperkukuhkan dalam semua aspek kerjasama termasuk politik dan ekonomi.
“Saya harap persahabatan di antara kita ini dapat ditingkatkan dan dikekalkan kerana ada banyak manfaat yang boleh didapati apabila Indonesia dan Malaysia bekerjasama dalam semua bidang termasuk politik, ekonomi dan juga hubungan antarabangsa,” kata Dr. Mahathir.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan kenyataan bersama selepas mengadakan pertemuan empat mata dengan Presiden Indonesia, Joko Widodo di Istana Presiden di Bogor, Jawa Barat, di sini hari ini.
Menurut Perdana Menteri, ketika ini kerajaan baharu yang dipimpin beliau selepas memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 9 Mei lalu sedang berusaha memulihkan ekonomi negara selain akan meneruskan dasar luar sedia.
“Kita di Malaysia ini bukanlah cekap sangat tetapi entah macam mana kita (Pakatan Harapan) dapat kemenangan dan tiada masalah yang menyusul kemenangan itu.
“Hari ini kita sibuk untuk memulih semula negara kita. Insya-Allah, kita akan teruskan dasar-dasar terutama dasar luar negeri yang mana yang diutamakan adalah persahabatan dengan negara jiran, Indonesia,” tambah Dr. Mahathir lagi.
Sebelum itu, Dr. Mahathir yang diringi isteri beliau, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali diberi sambutan rasmi oleh Jokowi sempena lawatan beliau ke negara ini.
Indonesia merupakan negara pertama di Asia Tenggara yang dikunjungi Dr. Mahathir selepas memegang jawatan Perdana Menteri buat kali kedua pada 10 Mei lalu sebagai meneruskan tradisi. – UTUSAN











