SAUDARA PENGARANG
SUDAH beberapa kali saya membaca aduan tentang tandas di KL Sentral malah secara peribadi memang sudah banyak kali saya lalui sendiri seperti yang diadukan tetapi nampaknya masih begitu juga.
Langsung tidak menggambarkan sebuah pusat transit pengangkutan bertaraf antarabangsa dengan tandas yang kecil, tidak diselenggara malah dibiarkan kerosakan berlarutan sejak berbulan lamanya.
Saya maksudkan tandas lelaki tingkat bawah berhampiran McDonald’s, harapnya tandas wanita lebih baik keadaannya.
Sudahlah cuma ada tiga kubikel, satu rosak dan cuma diletakkan papan tanda ‘lantai licin’ bagi menghalang daripada digunakan. Satu lagi kuncinya longgar sehingga orang boleh ‘meneropong’ ke dalam dan satu kubikel paling ‘kurang rosak’ yang menjadi rebutan ramai.
Ditambah sikap pengguna yang tidak reti menyangkut semula kepala paip, sungguh menggelikan rasanya setiap kali terpaksa menggunakan tandas itu sehingga saya akan terus mandi setiap kali pulang ke rumah jika keadaan sudah memaksa.
Kasihan saya melihat ramai pelancong asing beratur panjang. Memang ada tandas lain di tingkat atas tetapi tandas di tingkat bawah itu paling hampir dengan kawasan tumpuan pengguna.
Saya harap pengurusan KL Sentral tolong pastikan kontraktor sentiasa menyelenggara tandas tersebut, bukan sekadar mengelap lantai basah. Letih pengguna menunggu sehinggakan ada yang sanggup menahan untuk ‘menabung’ di rumah sahaja.
PRIHATIN
Kuala Lumpur











