Peguam juga perlu profesional - Utusan Malaysia

Peguam juga perlu profesional

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SAYA tidak tahu, mahu ketawa atau menangis menonton video penahanan peguam liberal, Siti Kasim baru-baru ini mendengarkan ‘hujah dan persoalan’ sambil terpekik-pekik oleh peguam itu bersama sekumpulan ‘geng’ yang juga dipercayai golongan peguam.

Memuatkan artikel berkaitan…

Tahniah saya ucapkan kepada anggota polis yang bersikap profesional menjelaskan seksyen jenayah dan prosedur malah dengan penuh sabar mengulangi permintaan lembut agar kumpulan peguam itu meninggalkan balai tanpa bertindak kasar.

Saya tidak mahu menyentuh isu kekebalan Siti Kasim mahupun siasatan melibatkan mangsa yang cuba diselamatkan kedua-dua belah pihak.

Apa yang jelas dalam rakaman video itu ialah sikap tidak profesional kumpulan dipercayai peguam itu menyerbu malah menengking pegawai polis yang hanya menjalankan tugas.

Balai polis adalah tempat kerja anggota polis dan bukannya tempat untuk sesiapa sekalipun, termasuk peguam menunjukkan sikap samseng atau berlagak ‘hebat’. Peguam patut berhujah di dalam mahkamah bukannya di tempat awam ataupun di tempat kerja penjawat awam.

Ini bukannya babak dalam filem Tamil menunjukkan hero menentang pihak berkuasa, biarkan polis melakukan tugas mereka dan berikan kerjasama.

Boleh dilihat dalam rakaman itu betapa tidak profesionalnya kumpulan tersebut termasuk Siti Kasim sendiri dalam memberi ‘kerjasama’ yang kononnya mereka akan berikan kepada anggota bertugas.

Walaupun selepas dijelaskan sebab peguam itu ditahan, masih ada ahli kumpulan menghambur soalan bertalu-talu sehingga seorang lelaki dipercayai anggota polis berpakaian preman menjelaskan sebagai peguam mereka semua patut tahu prosedur dan tidak perlu pun menanyakan soalan-soalan ‘terlebih cerdik’ itu.

Tindakan merakam itu sudah tidak profesional kerana jelas mahu menimbulkan persepsi negatif terhadap polis, walaupun boleh sahaja mereka ditahan kerana menghalang tugas penjawat awam, anggota polis bersikap profesional kerana tidak mahu mengeruhkan keadaan.

Jika tidak melakukan kesalahan, tidak perlu takut dan biarkan polis menyiasat dahulu. Sebagai peguam, mereka boleh berhujah di depan hakim jika kes itu dibawa ke mahkamah kelak. Sementara itu, tolonglah kekal profesional.

Saya harap Majlis Peguam ambil maklum sikap anggota mereka ini dan cubalah elakkan sikap tidak profesional begini berterusan. Jangan biar imej profesion guaman terus terjejas akibat tindakan golongan sebegini sedangkan peguam itu antara lima kerjaya profesional utama dunia.

PELAJAR PERUNDANGAN

Gombak, Selangor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN