ISKANDAR PUTERI 28 Jun – Sireh Park, sebuah taman warisan semula jadi yang terletak dalam bandar menjadi tarikan terbaharu warga kota yang ingin mencari ketenangan.
Ini kerana lokasinya di Nusa Idaman, terletak tidak jauh dari pusat pentadbiran negeri di Kota Iskandar, di sini selain pusat Bandaraya Johor Bahru.
Taman awam berasaskan botani dan berkeluasan 137 hektar itu yang dibangunkan oleh kerajaan negeri dan UEM Sunrise Berhad menerusi Yayasan Taman Warisan Semulajadi Nusajaya itu mula dibuka kepada orang ramai sejak November tahun lalu.
Menurut Pengurusnya, Norhaliza Ahmad berkata, di bawah Pelan Induk Iskandar Puteri, 260 hektar tanah telah diwartakan sebagai kawasan hijau yang diklasifikasikan sebagai Taman Wilayah atau Regional Open Space (ROS).
Daripada keluasan tersebut, sebanyak 137 hektar telah ditetapkan bagi pembangunan Taman Wilayah yang kini dikenali sebagai Sireh Park pada Januari 2014.
Nama sireh dipilih kerana keunikan tumbuhan tersebut juga membawa singkatan bagi sustainable, initiatives, recreational dan educational haven.
“Misi kami untuk membangunkan sebuah taman awam yang bukan sahaja menyediakan kawasan rekreasi, malah pendidikan dan peluang penyelidikan saintifik untuk semua.
“Visi kami pula adalah untuk menjadikan Sireh Park sebagai taman warisan semula jadi bertaraf dunia dan mapan untuk generasi masa kini dan akan datang,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Norhaliza berkata, meskipun masih ‘baharu’, namun Sireh Park bukan sahaja menjadi tumpuan orang ramai untuk bersantai terutamanya padahujung minggu, malah turut menjadi ‘lokasi’ penganjuran pelbagai program dan aktiviti luar.
Antaranya, Hari Landskap Johor 2017, acara larian seperti Monsoon Trial Run (Disember 2017), Sireh Park 21K 2018 dan Edu Run 2018 pada Mei lalu.
“Selain penganjuran aktiviti luar, pengunjung biasanya datang ke Sireh Park untuk berjoging, mendaki bukit, berbasikal dan menunggang all terrain vehicle (ATV).
“Kami merancang untuk membina beberapa kemudahan lain seperti flying fox dan paragliding bagi menarik lebih ramai pengunjung ke sini,” katanya sambil memberitahu pihaknya akan membina taman orkid, herba serta dusun buah-buahan di kawasan berkenaan selain menganjurkan karnival serta pesta jualan di situ.











