KUALA LUMPUR 28 Jun – Express Rail Link Sdn. Bhd. (ERL) akan menghantar 33 orang petugas untuk membantu operasi syarikat pengangkutan rel Arab Saudi, Metro Mekah sepanjang musim haji yang akan berlangsung tidak lama lagi.
Ketua Pegawai Eksekutif ERL, Noormah Mohd. Noor berkata, tahun ini merupakan tahun ketujuh pihak ERL berbuat demikian dan kali ini mereka bakal bekerjasama dengan China Railway Construction Corporation Limited (CRCC), yang dilantik oleh kerajaan Arab Saudi untuk mengoperasikan sistem pengangkutan rel Metro Mekah tahun ini.
“Kami berbangga untuk menghantar 33 orang petugas yang mana 21 daripada mereka adalah pertama kali terlibat dalam tugasan ini.
“Kesemua petugas ini akan berada di Arab Saudi selama dua bulan, merangkumi waktu untuk mereka menjalani latihan dan berkhidmat dalam pelbagai jawatan seperti Timbalan Pengurus Stesen, Ketua Stesen dan Penolong Ketua Stesen,” katanya ketika menyampaikan ucapan dalam Majlis Pengumuman Penghantaran Petugas ERL ke Metro Mekah di Dewan Ketibaan KLIA Ekspres di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengurus Besar Kanan (Haji) Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji), Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman, Pengurus Besar (Pengurusan Haji) Tabung Haji, Nurrinanuwar Shamsuddin, dan Ketua Pegawai Eksekutif ERL Maintenance Support Sdn. Bhd. (E-Mas), Thomas Baake. – UTUSAN ONLINE











